`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, December 26, 2012

PENGASAH NAFI SELEWENG SUBSIDI DIESEL





SANDAKAN: Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah), Jaini Ating (gambar) berkata, tidak ada penyelewengan subsidi diesel berlaku di semua jeti nelayan yang dikendalikan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di negeri ini kerana semua bekalan yang disediakan kerajaan kepada golongan itu terus dikawal ketat.

Beliau berkata, pihak PNK sebagai antara tujuh daripada 18 buah syarikat peruncit menjual bahan api itu yang dilantik Koperasi Serbaguna Nelayan Sabah (Ko-Nelayan), tidak sesekali mengambil kesempatan menjual bahan bakar itu demi faedah golongan nelayan dan bidang perikanan di Sabah.
“Sebagai badan yang komited membela nasib nelayan di negara ini, cawangan PNK yang turut beroperasi menjual bahan ini kepada yang layak, terkecuali daripada andaian penjualan subsidi minyak diesel secara haram seperti kenyataan dibuat Pengerusi Ko-Nelayan Sabah, Datuk Samsudin Yahya dua beberapa akhbar tempatan dua hari lepas,” katanya.

Mengulas perkara itu di sini kelmarin, Jaini berpendapat, kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Ko-Nelayan itu hanya merupakan satu andaian beliau berhubung isu berkenaan kerana tidak ada pihak sebelum ini dapat membuktikan dakwaan tersebut.

“Saya pun merasa hairan kenapa kenyataan sedemikian timbul. Setahu saya aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi tidak berlaku di jeti menjual bahan bakar itu. Jika ianya berlaku di tengah laut, maka ianya adalah di luar kawalan pihak Jeti,” katanya.

Sehingga kini, kata Jaini belum ada urusan penjualan minyak subsidi itu meragukan Pengasah, sebagaimana kenyataan dikeluarkan Pengerusi Ko-Nelayan itu.

Jaini menjelaskan, selain PNK-PNK, 11 lagi syarikat swasta turut dilantik oleh Ko-Nelayan menjadi peruncit bahan bakar itu kepada nelayan yang layak.

Selain menegaskan isu itu harus dihentikan kerana ia datangnya daripada pihak yang tidak senang hati dengan peranan mereka yang dipertanggungjawabkan memajukan golongan nelayan itu, Jaini berkata, semua pengerusi-pengerusi PNK di Sabah telah menyatakan pengakuan dan menafikan berlakunya kegiatan itu.

“Mereka (Semua Pengerusi PNK) hairan kenapa isu itu boleh kembali sebaik saja penafian dibuat oleh pihak PNK Beluran. Ia ekoran dakwaan liar yang dibuat oleh seorang individu yang menyamar sebagai seorang nelayan tradisi dari kawasan itu. Saya pun sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Dalam menjawab tuduhan liar individu berkenaan, saya tegas menyatakan, sebarang pengeluaran minyak subsidi diesel adalah amat ketat, melibatkan peranan beberapa agensi termasuk Ko-Nelayan. Bagaimanapun, penjualan minyak diesel subsidi hanya kepada golongan nelayan yang memiliki kad pintar dan terus dikawal Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Bagi pihak PNK, saya menegaskan tidak ada sebarang aktiviti penyelewengan di pihak jeti kerana tumpuan adalah untuk mempastikan pembelaan nasib dan masa depan kaum nelayan di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi PNK Tawau, Hassan Timbasal berkata, pihaknya yang dipertanggungjawabkan menjual lebih 1.2 juta liter diesel sebulan kepada golongan itu terus terpelihara daripada perbuatan penyelewengan demi masa depan kaum nelayan di sekitar daerah itu.

Pengerusi PNK Lahad Datu, Japar Alam menafikan kenyataan Pengerusi Ko-Nelayan itu dan menyifatkannya adalah berasaskan kepada andaian beliau semata-mata.

Pengerusi PNK Sandakan, Asmaul Gindong, turut menafikan adanya unsur-unsur tidak sihat di Jeti PNK berkenaan. Tumpuan yang diberikan adalah untuk melancarkan kegiatan mengedar bekalan itu secara sah kepada para nelayan berkenaan.

Ahli Lembaga Pengarah (ALP) PNK Kunak, Zainudin Simon, turut menafikan kegiatan itu dan menyifatkan dakwaan sedemikian hanya bersifat andaian semata-mata.

“Apa yang pasti perniagaan yang dijalankan di jeti di sini terus mengikut peraturan kerajaan dan para nelayan yang berkelayakan,” katanya yang terkilan dengan dakwaan Pengerusi Ko-Nelayan itu seperti cuba menuding pihak lain.

Di Kota Belud, Pengerusi PNK berkenaan, Makbul Masdin, berkata tidak ada penyelewengan di buat di jeti PNK tersebut yang beroperasi di Kampung Kuala Abai yang kini menumpukan usaha memajukan nelayan di daerah itu.

“Saya juga mencadangkan kepada Pengerusi Pengasah supaya memanggil semua Pengerusi PNK di Sabah bersama LKIM dan Ko-Nelayan bagi mengadakan satu perjumpaan khas bagi membincangkan soal pemantauan bersama dalam menangani perlaksanaan transaksi bahan bakar itu kepada nelayan. (NST)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.