`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, April 16, 2014

Mat Zain minta PM ambil tindakan kepada Nazri atau Shafee

Adakah Nazri yang berbohong di parlimen atau Shafee yang buat affidavit palsu?
Nazri SyafiePETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta mengambil tindakan terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz atau peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengenai kenyataan mereka.
Menurut bekas Ketua Siasatan Jenayah  Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim, pada 11 Mac 2009, Nazri Abdul Aziz telah mengumumkan di-Parlimen, bahawa Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bersih daripada sebarang salah laku sepertimana yang diadukan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Julai 2008.
Pada 1 Julai 2008, ,Anwar Ibrahim telah membuat laporan rasmi terhadap Gani Patail, Musa Hassan, Dr.Rahman Yusof dan Mat Zain Ibrahim mendakwa mereka memalsukan keterangan, ketika penyiasatan insiden mata-lebam Anwar sedang dijalankan.
Ekoran dari itu, satu panel bebas terdiri daripada tiga orang bekas hakim-hakim Mahkamah Rayuan dan Persekutuan, telah dilantik untuk meneliti hasil siasatan SPRM yang menyiasat kes ini.
Seorang ahli panel tersebut,iaitu Datuk Mohd.Noor Abdullah, mantan Hakim Mahkamah Rayuan, telah mendapati memang terdapat keterangan kukuh untuk mengenakan pertuduhan ke atas Gani Patail dan Musa Hassan kerana kesalahan memalsukan keterangan sepertimana yang diadukan oleh Anwar itu.
“Malahan Mohd.Noor dikatakan menggesa Gani dan Musa dikenakan pertuduhan di-Mahkamah di atas kesalahan tersebut,” dakwa Mat Zain.
Katanya, perkara ini disahkan sendiri secara rasmi oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM sekarang,Tan Sri Abu Kassim Muhammad.
Katanya, dalam pengumuman sama, Nazri turut mengesahkan bahawa perlantikan tiga orang mantan hakim Mahkamah Rayuan dan Persekutuan sebagai Ahli Panel Bebas untuk meneliti hasil siasatan Gani dan Musa adalah dibuat oleh Peguam Cara Negara (Solicitor General).
“Pada bulan Disember 2010 pula, Nazri telah mengeluarkan ministerial statement serta memberikan penjelasan panjang lebar berkaitan undang-undang yang melayakkan Solicitor General membuat perlantikan Panel Bebas tersebut.,” kata beliau dalam suratnya kepada Perdana Menteri yang dihantar pada hari ini.
Mat Zain mendakwa dalam perkembangan berkaitan pula,pada 10 Disember 2013,Shafee telah mengikrarkan affidavit dengan menyatakan bahawa tiga orang mantan hakim kanan tersebut dilantik sebagai Ahli Panel berkenaan oleh Peguam Negara sendiri dan bukan oleh Solicitor General, seperti yang diumumkan oleh Nazri dalam kenyataan menteri yang dikeluarkan itu.
“Affidavit Shafee ini telah difailkan oleh Jabatan Peguam Negara sendiri dalam kes rayuan Sodomy II. Dipercayai Jabatan tersebut telah menyemak dan meneliti pernyataan-pernyataan Shafee secara bersumpah itu, sebelum mengemukakannya kepada Mahkamah,” dakwanya lagi.
Beliau menambah ikrar Shafee sedemikian itu mempunyai implikasi yang sangat besar kepada kedudukan Peguam Negara dan terhadap kesahihan ministerial statement yang dikeluarkan oleh Nazri.
“Sama ada Nazri telah mengeluarkan ministerial statement yang palsu dan berbohong di Parlimen, ataupun Shafee yang telah mengikrarkan affidavit mengandungi pernyataan palsu tetapi digunakan juga sebagai keterangan dalam prosiding kehakiman rayuan kes Sodomy II,” ujarnya.
Dengan keadaan yang dijelaskan di atas,katanya lagi, Perdana Menteri tidak ada pilihan, melainkan untuk mengambil tindakan terhadap salah seorang daripada mereka.
“Sekiranya Perdana Menteri menyatakan bahawa affidavit Shafee itu yang benar, maka tindakan hendaklah diambil terhadap Nazri kerana mengeluarkan ministerial statement palsu dan juga terhadap Gani Patail, kerana penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan diri sendiri, apabila melantik Ahli Panel Bebas untuk membersihkan dirinya,” cadang beliau.
Sebaliknya, katanya, sekiranya Perdana Menteri mempertahankan ministerial statement Nazri itu yang betul, maka Shafee hendaklah serta merta dituduh di-Mahkamah, kerana membuat affidavit palsu dan dengan sengaja menggunakan affidavit tersebut dalam suatu prosiding kehakiman.
“Gani Patail juga tidak boleh terlepas kerana bersubahat dalam perkara ini. Beliau boleh didakwa kerana beliau tidak ada imuniti seperti kata Hakim Mahkamah Tinggi,Vazzeer Alam Mydin Veera minggu lepas,” dakwanya lagi.
Mat Zain percaya rakyat mengharapkan tindakan yang tegas dan pantas dapat diambil oleh Perdana Menteri.
“Sebarang helah untuk melengahkan perkara ini, atau sebarang percubaan untuk melindungi mana-mana pihak daripada dikenakan hukuman undang-undang, akan hanya menambah- burukkan lagi situasi yang sememangnya semakin teruk dan bertambah tenat,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.