`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, July 7, 2014

Biar hidup miskin, tapi tidak jadi peragut atau pencuri



Di Malaysia, si miskin atau gelandangan akan dipandang hina, menteri lebih malu melihat  manusia berpakaian lusuh tidur tepi kedai Coach depan KLCC atau tepi kedai Luis Vuitton di  Pavillion, Bukit Bintang.
Menteri tidak malu pula bertanyakan sejauh mana mereka berjaya menolong golongan tidak  bernasib mereka ini.
Lalu, ada manusia yang fikir mudah, suruh si miskin dan gelandangan ini dihantar pulang ke  kampung halaman, jadi petani atau melakukan kerja kampung.
Lagipun berapa banyak sangat kerja di kampung yang ada.
Kerja-kerja kampung apa yang hendak dilakukan ketika ekonomi negara sudah beralih daripada  pertanian kepada industri.
Saya lahir di negeri "jelapang padi".
Tapi di Alor Setar, kebanyakan sawah ditransformasi menjadi kawasan perumahan. Kawasan  perumahan membesar di bandar Alor Setar, tetapi peluang pekerjaan masih sama.
Mungkin anak bekas perdana menteri boleh bentang banyak mana peluang pekerjaan beliau buka.
Perumahan adalah contoh penyumbang ekonomi yang tidak berkekalan, apabila habis dibina peluang pekerjaan pun habis dan muncul spekulator pemain industri hartanah.
Graduan politeknik atau ijazah yang mahu bekerja di negeri terpaksa menunggu jawatan kerajaan dibuka, baru boleh memohon pekerjaan.
Suatu ketika dahulu, saya pernah memohon untuk bekerja dengan kerajaan negeri.
Semasa menghantar borang, saya lihat sudah ada 10 kotak besar yang penuh dengan CV yang  memohon kerja untuk kira-kira 100 jawatan kosong.
Itu cerita 3 tahun lalu.
Menurut Jabatan Perangkaan Negara, kadar pengangguran di luar bandar adalah lebih tinggi  berbanding di bandar dengan catatan sebanyak 3.5% pada 2011.
Kesimpulannya, tidak hairanlah apabila ramai yang berhijrah ke kota besar, seperti Kuala Lumpur atau Pulau Pinang dan Johor Baru.
Di kota ini, sememangnya ada peluang yang dijanjikan tapi kadang-kadang tidak semua mereka yang memperoleh peluang itu dan kemudian berjaya.
Seperti insan lain, gelandangan atau mereka yang miskin juga menanam cita-cita untuk cuba menukar nasib mereka dengan berhijrah ke kota.
Cuma, mereka tidak ada sekeping ijazah atau diploma menyebabkan nasib mereka akhirnya  berada di tepi jalan.
Tetapi itu tidak bermakna kita yang lebih bernasib baik ini melupai mereka.
Bercakap-cakap mengenai gelandangan, hari ini rakan saya mengeluh.
Beliau yang baru bekerja sebagai jurujual mengeluh apabila seorang pakcik berbangsa Melayu mencuri telefon bimbit Samsung S3 di kedainya.
Oleh kerana rakan saya ini yang melayan pakcik ini, majikan memotong gajinya sebagai ganti rugi.
Pencuri terlepas dan rakan saya yang menunggu cahayamata terpaksa membayar ganti rugi akibat pakcik Melayu yang mencuri ini.
Anda lihat disini, gelandangan yang berpakaian lusuh di mata setengah orang dianggap hina tetapi sebaliknya dalam masyarakat kita ada yang berpakaian cantik tapi masih ada mencuri.
Sama juga dengan peragut, kebanyakan video youtube menunjukkan mat-mat rempit bangsa Melayu yang banyak dibelasah dan ditangkap kerana meragut.
Walaupun gelandangan tidak bernasib baik ini terpaksa makan sisa yang ditinggalkan, sekurang-kurangnya mereka lebih mulia daripada pencuri dan peragut.
Mungkin mereka nampak busuk atau kotor di mata sesetengah manusia atau menteri, tapi jauh di lubuk hati mereka adalah insan yang lebih ikhlas daripada kita.
Bukan semua harta yang kita ada adalah milik kita sepenuhnya, ada bahagian juga untuk  mereka yang tidak bernasib baik ini.
- TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.