`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, July 17, 2014

Kos Lesen Kekal, Pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Pemandu Baharu Ditangguh

Kadar baharu yang dicadangkan sebelum ini.

[Bernama] KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) yang dijadual bermula pada Ogos ditangguhkan sehingga diberitahu kelak, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diminta untuk menjalankan kajian lanjut bagi menyemak kurikulum termasuk implikasinya terhadap kos.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan jalan raya adalah amat penting untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya di Malaysia yang dilaporkan masih tinggi.

"Kurikulum baharu penting untuk memupuk pemanduan selamat dan bertanggungjawab di kalangan pengguna jalan raya. Bagaimanapun, sebarang kos berkaitan pelaksanaan kurikulum baharu perlu mengambil kira kesan kewangan ke atas rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata JPJ telah menjalankan kajian dan penyelidikan yang sewajarnya untuk mewujudkan kurikulum baharu yang akan memastikan standard baharu bagi keselamatan jalan raya di negara ini.

Liow berkata walaupun keperluan rakyat diberi keutamaan, ia perlu diseimbangkan dengan keselamatan pengguna jalan raya.

Sebelum itu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan kurikulum baharu yang memberi penekanan kepada usaha melahirkan pemandu yang berhemah dan berdisiplin untuk menggantikan kurikulum lama yang menekankan kepada kemahiran dan pemahaman peraturan jalan raya.

Kurikulum baharu juga termasuk penukaran kepada kenderaan transmisi automatik untuk membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia terutama generasi tua dan wanita, memperoleh lesen memandu yang sah.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda Umno tidak bersetuju jika kadar untuk mendapatkan lesen memandu kereta dan motosikal dinaikkan.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata beliau sudah menyuarakan pandangan Pemuda Umno kepada Menteri Pengangkutan supaya kadar itu tidak dinaikkan selepas menghadiri mesyuarat Kabinet, pagi tadi.

"Saya maklumkan sebagai Ketua Pemuda bahawa harga untuk memperoleh lesen memandu tidak wajar dinaikkan sebab akan memberi kesan kepada golongan muda terutama mereka yang tidak mampu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi membeli belah baju raya bersama anak yatim dan golongan kurang berkemampuan, di sini.

Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata kesan kedua terhadap kenaikan harga memperoleh lesen akan turut mengakibatkan lebih banyak masalah timbul apabila golongan muda memilih untuk memandu kereta atau menunggang motosikal tanpa lesen disebabkan terlalu mahal.

Semalam, orang ramai dikejutkan dengan dakwaan bahawa kadar untuk mendapatkan lesen kenderaan dan motor telah dinaikkan kepada RM2,000 bagi lesen kereta kelas D dan RM1,050 bagi lesen motosikal kelas B2 berkuat kuasa 14 Julai lepas.

Terdahulu, Khairy sempat meluangkan masa kira-kira sejam untuk membeli belah baju raya bersama 150 anak yatim dan golongan kurang berkemampuan terpilih dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Wisma Jakel, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.