`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, July 13, 2014

Masih adakah cogan kata, Melayu itu UMNO, UMNO itu Melayu?



Dahulunya, semasa saya mula bergiat dalam UMNO selalu saya dengar cogan kata..UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO. Sesungguhnya begitulah kenyataannya kerana semasa itu tiada parti Melayu yang lain yang mendapat sokongan ramai. PAS hanya bertumpu di Pantai Timur Semenanjung dan parti itu hanya berkubu di Kelantan. Selain dari itu PAS hanya wujud ditempat-tempat dimana wujudnya sawah padi dan pengaruhnya bertompok-tompok.

Kini cogan kata UMNO itu Melayu, dan Melayu itu UMNO sudah lama tidak kedengaran kerana sesungguhnya Melayu sekarang tidak semestinya penyokong UMNO. UMNO menjadi begini kerana UMNO tidak mampu merubah pemikiran dan sifatnya mengikut waktu dan zamannya.

UMNO sekarang hanyalah seperti sebuah kelab eksklusif yang mana ia dikuasai oleh sekelompok manusia dan keluarga dengan menggunakan pengaruh dengan menekan pembangunan pemikiran ahli-ahlinya dan mereka tidak payah berfikir untuk perjuangan partinya itu. UMNO diperlakukan oleh kumpulan kecil yang eksklusif dan mereka yang kecil kumpulan ini menggunakan ahli-ahli yang telah di mandulkan pemikiran mereka oleh kumpulan eksklusif ini.

Kumpulan elit dalam UMNO telah berjaya memainkan serta menanamkan kumpulan ahli-ahli yang telah dimandulkan pemikiran itu dan sedang bermaharajalela dikoridor kuasa. Mereka mengambil kesempatan untuk diri dan keluarga serta kroni mereka yang taat membatu tuli itu yang telah dijaga segala kemahuan mereka melalui imbuhan imbuhan yang telah membentuk budaya ‘rent seeking’ yang tidak dapat dikatakan salah lagi.

‘Rent seeking’ itu sudah dihalalkan dan diterima sebagai budaya dan kumpulan ini merupakan kubu kuat bagi kumpulan elit UMNO itu untuk terus berkuasa walaupun dengan kuasa yang ‘marginal’. Kemenangan yang ‘marginal’ ini sudah mencukupi bagi kumpulan kecil elit ini untuk berkuasa sepenuhnya dalam sistem demokrasi ‘winners take all and losers loose all’ ini.

Dr Mahathir pernah berkata “menang satu undi pun menang” semasa pertandingan jawatan presiden UMNO tahun 1987 dahulu.  Dengan kemenangan hanya 43 undi dalam pertandingan itu lah yang membuatkan beliau berkuasa penuh dan meneruskan pemandulan pemikiran ahli-ahli UMNO selama 22 tahun itu dan inilah yang kita lihat berlaku pada hari ini. Macam mana buruk pun ‘conduct’ UMNO, parti itu tetap diterima sebagai parti yang memerintah sepanjang hayat. UMNO itu telah diyakini sebagai parti yang tidak boleh dikalahkan oleh mana-mana pihak. Kekalahan hanyalah untuk pihak pembangkang dan yang tidak bersetuju dengan mereka semata-mata.

Tetapi dengan kemenangan ‘marginal’ UMNO dan BN itu tidak lagi membolehkan UMNO mengaku yang UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO. Orang Melayu tidak semestinya penyokong UMNO. Jika dulunya PAS hanya mendapat sokongan bertompok-tompok kini PAS sudah merata-rata di negara ini. Malahan kawasan elit seperti Shah Alam yang dulunya merupakan kubu UMNO, sekarang parti itu sudah tidak bermaya lagi dalam kawasan itu dan banyak kawasan-kawasan yang lain.

Semuanya ini kerana keruntuhan nilai kepimpinan dan jenis manusia yang memimpin itu. UMNO sudah tidak bermaya untuk membangunkan pemikiran mereka mengikut masa dan zamannya. Ahli-ahli UMNO serta pemimpin mereka sudah tidak tahu membezakan diantara parti dan kerajaan. Oleh kerana terlalu lama diberikan mandat UMNO merasakan yang negara ini mereka yang punya dan mana-mana pihak yang mengkritik mereka dianggap rakyat yang derhaka dan tidak patriotik.

Sudah tertanam dalam pemikiran pemimpin-pemimpin UMNO yang parti mereka tidak boleh dipersalahkan. Budaya-budaya buruk yang dibina oleh UMNO merupakan satu isu yang sangat merbahaya kepada keseluruhan sistem politik negara ini kerana budaya itu juga sudah meresap dan sedang tertanam dalam parti-parti pembangkang juga.

Ia sudah begitu teruk sehinggakan memberikan mandat kepada pembangkang tidak boleh menjamin kestabilan politik negara dan negeri.PKR yang telah berjaya meyakinkan akan mentadbir negeri Selangor dengan baik juga tidak berhasil. Malahan apabila PKR mentadbir keadaan politik begitu kalau bilau seperti yang kita lihat dan dengar sekarang ini. Pendeknya kedua-dua belah pihak tidak boleh menjamin kestabilan politik kita kerana masing-masing parti hanya berjuang untuk parti mereka dan bukannya untuk rakyat yang ramai.

Masing-masing parti hanya membela nasib parti mereka sendiri tetapi rakyat ramai tetap resah gelisah. Pembangkang telah diberi peluang untuk mentadbir negeri yang terkaya Selangor, tetapi apa yang kita lihat untuk menjaga kestabilan dan ketelusan tidak tercapai semata-mata kerana permainan politik sesama pemimpin parti-parti dalam PR itu.

Tindakan menikam belakang sesama pemimpin mereka berlaku dihadapan mata kepala rakyat yang ramai dan menumbangkan pimpinan dengan pimpinan tidak terbendung lagi. Khalid akan dibuang dan pihak Khalid pula memainkan strategi untuk menggagalkan pihak yang hendak memberhentikan beliau dari tugasan Menteri Besar nya.

Bagi saya mengekalkan sistem sekarang tidak lagi boleh menjamin kestabilan politik itu sendiri. Walaupun sudah selalu menyebutnya saya ulangi yang negara perlu melakukan ‘corrections’ kepada sistem politiknya jika kita masih berselera untuk melihat negara yang aman.

‘Better late than never’ kata perbilangan, kita wajar melakukan dan bertindak mengubal sistem politik yang baru sekarang. Seseorang terpaksa kehadapan dan diberikan sokongan untuk merumuskan satu landskap politik yang baru seperti yang blog ini selalu sebutkan.

Yang penting seorang yang berpengalaman wajar menyediakan meja untuk rundingan baru yang diwakili oleh pimpinan dari semua kaum samada dari kaum yang terbesar mahu pun dari kaum minoriti, untuk tidak meninggalkan mana-mana pihak kerana semua pihak yang sedang berperang sekarang ini adalah empunya kepada negara ini.

Rakyat wajar dibawa ke ‘ambience’ politik yang baru bagi mewujudkan aura baru untuk bersatu bagi mencapai matlamat yang ‘ultimate’ iaitu perpaduan kaum. Wajar diingatkan yang selagi keadaan dan sistem ini masih berlarutan, kita akan tetap berada ditakuk yang lama, tanpa ada apa-apa perbezaan yang diperlukan itu.

Individu yang dihormati perlu diberikan tanggungjawab itu dan bukannya diberikan kepada parti-parti politik bagi memulakan penyatuan ini. selepas disusun baru lah politik itu diserahkan kepada parti-parti politik untuk melaksanakan demokrasi itu, mungkin dengan suasana yang lebih baik lagi dan boleh digunapakai buat masa yang panjang.

Kita telah dibelah-belahkan oleh segelintiran elit politik itu selama ini dan kita masing-masing begitu bangga memaki hamun sesama sendiri bagi menegak dan mempertahankan pimpinan masing-masing yang sudah jelas tidak berkemampuan untuk mencapai matlamat perpaduan kaum itu.

Sistem politik kita sekarang ini mungkin telah ‘out-moded’, itu sebabnya tiada lagi keamanan dalam politik itu sendiri. Masih kah kita mahu kekal dengan pergaduhan sesama kita yang tidak berkesudahan ini? Bagi kita orang biasa yang ramai-ramai ini, mahukah kita dipecah belahkan oleh pemimpin-pemimpin yang mahu mengambil kesempatan dengan perpecahan dibawah ini?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.