`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, July 9, 2014

Mercun Meletup Dalam Mata



KUALA TERENGGANU - Seorang kanak-kanak lelaki nyaris buta apabila mata kirinya cedera terkena mercun ketika sedang menikmati juadah berbuka bersama keluarga di Dataran Shahbandar, di sini, Jumaat lalu.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 7.45 malam, ketika mangsa yang berusia 8 tahun sedang makan bersama keluarganya sebelum secara tiba-tiba sebiji mercun dipercayai mercun katak melantun ke arahnya.


“Mangsa anak sulung daripada dua beradik datang ke kawasan rekreasi itu bersama orang tuanya dan adiknya untuk berbuka puasa.

“Bagaimanapun, ketika sedang menikmati juadah berbuka, secara tiba-tiba sebiji mercun tercampak dan masuk ke dalam mata kiri mangsa sebelum meletup di dalam mata kanak-kanak itu,” katanya.

Kata sumber lagi, kejadian berlaku begitu pantas sehinggakan bapa mangsa, 38, tidak sempat membantu walaupun sebelum itu ada ternampak mercun terpelanting ke arah lokasi mereka sekeluarga makan.

“Panik melihat anaknya menangis dan meraung kesakitan, bapa mangsa segera membawa kanak-kanak itu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan doktor memaklumkan terdapat belerang mercun di dalam mata mangsa selain memaklumkan ada luka pada matanya dan perlu mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Menurut sumber, bapa mangsa mendakwa sebelum kejadian, ada seorang perempuan bersama tiga kanak-kanak bermain mercun katak berhampiran tempat kejadian.

“Malah, bapa mangsa memaklumkan ada menegur mereka agar tidak bermain mercun di situ tetapi mendakwa tegurannya tidak diendahkan,” katanya.

Kata sumber lagi, difahamkan selepas kejadian itu, ada beberapa orang awam yang berada di tempat kejadian datang meminta maaf kepada keluarga mangsa, namun disebabkan keadaan agak kelam kabut, bapa mangsa tidak sempat mengambil maklumat individu tersebut.

Susulan insiden itu, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kerana bimbang mata kiri anaknya mengalami kecacatan kekal selain tidak mahu kejadian sama menimpa orang lain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan dan menurutnya kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.