`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, July 26, 2014

[VIDEO] Tergamak Lelaki Itu Menipu Anak-anak Yatim Ini...


Johor Bahru: 75 anak yatim dari Gombak, Selangor ditipu oleh seorang lelaki yang berjanji untuk menganjurkan sebuah majlis berbuka puasa di Hotel Berjaya Waterfront semalam. Menurut penjaga anak yatim tersebut, Normala Baharin, 27, berkata beliau telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan hotel tersebut Ahad lalu. 

“Lelaki itu telah berjanji untuk menyediakan majlis buka puasa dan menyediakan tempat penginapan untuk kesemua anak yatim tersebut.

“Pada Isnin lalu, lelaki itu sekali lagi menghubungi saya dan berjanji untuk menanggung kesemua kos sewa pengangkutan bas ke Johor Bahru,” katanya kepada media.

Tambahnya, kesemua anak yatim tersebut berusia dalam lingkungan dua hingga 18 tahun bersama lapan penjaga dari Surau Silatulrahim.

“Saya berasa sangat sedih kerana sampai di hotel itu, kami gagal untuk menghubungi lelaki tersebut.

“Kami juga terkejut apabila pihak hotel tersebut memberitahu bahawa mereka tidak pernah menganjurkan majlis berbuka bersama anak yatim,” jelasnya dalam nada kecewa dengan kejadian tersebut.

Katanya lagi, beliau amat kecewa dengan kejadian ini kerana lelaki itu sanggup menipu beliau dan anak-anak yatim yang sangat gembira untuk berbuka di hotel tersebut lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.

“Saya juga telah membuat laporan di Balai Polis Sentral semalam,” ujarnya.

Pengurus Besar Hotel Berjaya Waterfront, Zaharuddin Abd. Jalil berkata, beliau amat kesal dengan penipuan yang dilakukan oleh lelaki tidak bertanggungjawab tersebut.

“Kami pihak hotel memohon maaf dan memang mengakui tidak pernah menganjurkan sebarang acara untuk anak-anak yatim tersebut untuk berbuka puasa di sini.

“Namun, kami telah mengambil langkah inisiatif dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka dan menyediakan 30 bilik persalinan,” katanya dan menyerahkan kes ini kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata beliau telah menerima laporan kes ini dan siasatan menyeluruh akan dilakukan.

“Kes ini juga akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. -FMT


ANAK YATIM DIANIAYA, DITIPU DAPAT TIDUR HOTEL DI JOHOR



Kejam. Itu sahaja yang boleh dilafazkan terhadap individu yang dikenalpasti sebagai Faiz yang menipu 75 orang miskin dan anak yatim di Johor Bharu.

Faiz dikatakan membuat janji palsu kepada anak-anak yatim ini dengan menipu untuk memberi mereka penginapan percuma dan juadah berbuka puasa beserta sumbangan di sebuah hotel. Anak-anak yatim ini terpaksa menempuhi perjalanan sejauh 354 kilometer untuk ke Hotel Berjaya Waterfront di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut, kelmarin.

“Saya tidak tahu apa salah anak yatim dan anak dari keluarga kurang berkemampuan hingga ada pihak tertentu sanggup menganiaya mereka Ramadan ini,” kata Amirah Ariffin, salah seorang pengiring anak yatim tersebut, 47, semalam.

Kesemua 75 peserta rombongan berkenaan berusia antara 5 hingga 18 tahun. Mereka adalah anak yatim dan keluarga kurang mampu dari Jalan Pahang Lama, Gombak Selangor. Rombongan ini diuruskan oleh Surau Silaturrahim kampung berkenaan setelah lelaki bernama Faiz berkenaan menyatakan dia mahu meraikan anak-anak yatim berkenaan.

“Lelaki bergelar Faiz menghubungi saya Isnin lalu (21 Julai) meminta kerjasama mengumpul 75 anak dari keluarga miskin dan anak yatim untuk dibawa ke Johor Bahru di mana majlis itu dikatakan bakal diadakan pada 23 Julai (kelmarin).

“Saya dan sukarelawan surau bersyukur lelaki itu menyatakan niat murni pengurusan hotel menaja kemudahan pengangkutan, penginapan dan makanan,” katanya.

“Kali terakhir kami menghubungi Faiz ketika dalam perjalanan iaitu jam 11 pagi kelmarin dan kami pelik kerana selepas dua jam, dia mematikan telefon.

“Sebaik tiba di lobi hotel pada 2.30 petang, saya dimaklumkan tiada tempahan bilik hotel atau penganjuran majlis.

“Kami buntu kerana tidak memiliki sumber kewangan menguruskan penginapan dan makanan peserta hingga terpaksa memaklumkan kejadian kepada pihak hotel dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya yang bertolak pulang ke Gombak jam 12 tengah hari, semalam.

Sementara itu, salah seorang peserta rombongan, Muhammad Hishamuddin, 17, berkata, dia dan rakannya tidak menyangka diperdaya pihak tertentu.

“Ini kali pertama saya menjejak kaki ke hotel. Saya berterima kasih kerana pengurusan hotel bersimpati dengan nasib kami dan menawarkan penginapan sehari, makanan serta kemudahan bas untuk pulang,” katanya. 
-SiakapKeli

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.