`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, August 3, 2014

“Berapa Tuhan orang Hindu?”

Jika anda seorang penganut agama Hindu, berumur lebih 20 tahun dan merupakan warganegara Malaysia, tidak mustahil bahawa anda sudah sekurang-kurangnya seratus kali ditanya, "Orang Hindu ada berapa Tuhan?"
Situasi seperti ini sudah saya lalui sejak usia kanak-kanak tetapi tidak pula membuatkan saya marah. Sebaliknya pertanyaan itu membuktikan bahawa rakan-rakan yang bertanya mahu tahu tentang budaya/amalan kita. Bukan pula bermakna rakan itu mahu memeluk agama Hindu! Sebaliknya mahu tahu supaya lebih mudah untuk bergaul dalam konteks masyarakat majmuk di negara bertuah ini.
Berdasarkan pengalaman saya, pertanyaan "Orang Hindu ada berapa Tuhan?" biasanya dikemukakan oleh rakan-rakan Melayu beragama Islam. Sejarah membuktikan bahawa pada zaman dahulu, sebelum kedatangan Islam, penduduk Melayu di negara ini beragama Hindu. Malah, budaya agama Hindu masih menjadi sebahagian daripada budaya Melayu (bukan "budaya Islam").
Dialog dan perkongsian maklumat mengenai pelbagai budaya dan agama bukan sesuatu yang baru. Satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi ialah Nabi Muhammad dan Baginda amat menggalakkan dialog seperti ini. Semasa pemerintahan Empayar Mughal di India, Akhbar (1556-1605) yang buta huruf turut menggalakkan dialog antara agama.
Namun, pada masa kini di Malaysia, seperti didedahkan dengan penuh berani oleh presiden Majlis Perundangan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST), Jagir Singh, pemimpin agama Islam di negara ini nampaknya menganggap kedudukan mereka "lebih tinggi dalam agama, jadi mereka tidak boleh duduk sama taraf dengan Bukan Islam" (The Malaysian Insider, 1 Ogos 2013).
Mujurlah Kerajaan Barisan Nasional (BN) mewajibkan mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) mulai September 2013. Seperti kata pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Dr Zainal Kling, TITAS bertujuan "meningkatkan kefahaman dan rasa hormat antara rakyat serta menguatkan perpaduan dan persefahaman antara anggota masyarakat" memandangkan "disebabkan kurang pendidikan maka banyak kejadian tidak diingini berlaku kerana anak muda 'kosong' tentang ilmu pengetahuan tamadun lain di negara ini" (Utusan Malaysia, 23 Julai 2013).
Selaras dengan niat murni Kerajaan BN dan TITAS "meningkatkan kefahaman dan rasa hormat antara rakyat" saya juga terpanggil untuk berkongsi pengalaman saya sejak kanak-kanak dalam menangani pertanyaan "Orang Hindu ada berapa Tuhan?"
(Mana-mana individu yang lemah pegangan agama dan luntur keimanan dinasihatkan supaya tidak meneruskan pembacaan makalah ini.)
Berhala Dewa Ganesha dalam pelbagai rupa dan bentuk sangat terkenal di Bali. 12 Ogos, 2013.Berhala Dewa Ganesha dalam pelbagai rupa dan bentuk sangat terkenal di Bali. 12 Ogos, 2013.Memandangkan rakan-rakan yang bertanya adalah Melayu-Islam, maka saya akan berusaha menggunakan sudut Islam untuk membantu menjawab kemusykilan mereka. Secara paling asas, saya akan nyatakan hakikat bahawa agama Hindu diakui sebagai agama tauhid yang pertama di dunia.
Jawapan itu sepatutnya sudah cukup untuk menjawab pertanyaan berkaitan "berapa Tuhan" tetapi selalu juga rakan-rakan kurang faham - entah tidak faham makna "tauhid" dalam konteks agama atau jawapan saya terlalu ringkas dan sukar dicerna.
Maka, biasanya saya akan menjelaskan bahawa makna "tauhid" yang saya maksudkan adalah sama seperti dalam ajaran agama Islam. Saya akan nyatakan konsep "Eka Aneka" yang juga biasanya membuatkan orang terkebil-kebil.
Eka Aneka, Asamaul Husna
Sesungguhnya "Eka Aneka" adalah istilah Sanskrit tetapi sudah diserap masuk dalam Bahasa Malaysia. "Eka" bermakna "satu" atau "tunggal" - atau selalu disebut sebagai "Esa" dalam konteks Islam. Maka, dalam agama Hindu - agama tertua di dunia - Tuhan adalah Eka/Satu/Tunggal.
Istilah "Aneka" pula difahami dalam konteks Bahasa Malaysia sebagai "pelbagai" (dari Bahasa Tamil!) atau "bermacam-macam". Tuhan yang berciri "Eka" (Tunggal/Satu/Esa) juga bersifat "Aneka" iaitu dikenali dengan pelbagai nama mengikut sifat-Nya.
Maknanya, walaupun dikenali dengan pelbagai nama yang berbeza, Tuhan dalam agama Hindu tetap Esa. Mana-mana pihak atau individu yang mengatakan sebaliknya ternyata bukan bercakap mengenai agama Hindu. Sebaliknya mungkin bercakap mengenai suatu ajaran sesat yang dia sendiri cipta bagi menduakan Tuhan!
Sekiranya rakan saya yang beragama Islam masih kurang faham, maka saya terpaksa pula mengambil contoh daripada Asamaul Husna iaitu 99 sifat Allah yang pasti diketahui setiap orang Islam.
Sejumlah 99 nama itu tidak pula bermakna Allah hanya memiliki 99 sifat! Atau lebih parah jika ada pihak yang beranggapan bahawa terdapat 99 Tuhan selain daripada Allah dalam agama Islam! Atas sebab inilah juga saya amat menggalakkan dialog antara agama; supaya dapat merungkaikan apa-apa salah tanggap yang mungkin wujud dalam kalangan masyarakat pelbagai agama.
Antara nama yang digunakan berdasarkan sifat-sifat Allah ialah Al Khaaliq iaitu Maha Pencipta, Al Waliyy iaitu Maha Melindungi dan Al Mumiit iaitu Maha Mematikan. Kalau diperhatikan dalam konteks agama Hindu di mana Bahasa Sanskrit digunakan, sifat Tuhan yang Maha Pencipta dirujuk sebagai Brahma, Maha Melindungi dirujuk sebagai Vishnu dan Maha Mematikan dirujuk sebagai Shiva.
Kunjungan ke sebuah kuil oleh peserta Konvoi Rumah Ibadat pada 2 Mei 2011.  Kunjungan ke sebuah kuil oleh peserta Konvoi Rumah Ibadat pada 2 Mei 2011.Ketiga-tiga nama dalam contoh mudah di atas - dalam Bahasa Arab dan Sanskrit - tidak merujuk kepada tiga Tuhan yang berbeza; sebaliknya Tuhan yang Maha Esa tetapi memiliki sifat yang Aneka.
Penerangan ini tidak bertujuan menyesatkan sesiapa tetapi untuk membantu memudahkan pemahaman. Daripada pengalaman saya menjelaskan perkara-perkara di atas berikutan soalan "Orang Hindu ada berapa Tuhan?" tidak seorang pun rakan-rakan saya yang terus berminat meninggalkan agama asal dan memeluk agama Hindu. Saya gembira kerana mereka kekal dengan agama asal.
Ada pihak yang menolak penyiaran cerpen saya dengan alasan kononnya saya cuba menyebarkan agama Hindu menerusi cerpen Bahasa Malaysia. Bagaimanapun, tiada laporan mana-mana pembaca meninggalkan agama asal dan "masuk" Hindu. Sebagaimana tidak ada orang Melayu yang memeluk agama Hindu walaupun tergila-gila menonton filem-filem Shah Rukh Khan sejak tahun 1990-an.
Kalaulah perbincangan, dialog dan perbandingan antara agama, tamadun dan budaya menjadi suatu kebimbangan dan ketakutan dalam kalangan puak fanatik, pentaksub, ultra kiasu, rasis dan etnosentrik, pasti mereka akan "mati muntah darah" jika berpeluang mendalami mata pelajaran TITAS di IPTA dan IPTS.
Berbalik pada topik perbincangan, ada juga rakan-rakan yang bertanya mengapa ada begitu banyak berhala dan rupa dewa-dewi yang pelbagai pula. Secara mudah, saya akan cuba menjelaskan bahawa berbeza dengan agama Islam (juga Buddha, Sikh dan sebagainya), ajaran Hindu tidak menghalang "sifat-sifat" Tuhan yang berciri "Eka Aneka" digambarkan secara visual.
Maka para penganut agama Hindu sejak dahulu menggunakan bakat kesenian untuk "mevisualkan" sifat-sifat Tuhan menerusi lukisan, berhala dan seumpamanya. Seni khat dan kaligrafi - sebagaimana digunakan orang Arab, Cina dan Islam - turut digunakan orang Hindu untuk merakamkan (record) sifat-sifat Tuhan yang berciri Eka Aneka.
Sebagai agama tauhid yang pertama di dunia, ajaran Hindu tidak menghalang/menolak mana-mana agama atau ajaran lain. Semua agama menuju kepada Tuhan (Maha Esa) dan terpulang kepada setiap individu untuk memilih jalan (agama/ajaran) yang diingininya.
Peserta Konvoi Rumah Ibadat di Seremban (17 Februari 2013) mendengar penerangan tentang kuil.Peserta Konvoi Rumah Ibadat di Seremban (17 Februari 2013) mendengar penerangan tentang kuil.
- TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.