`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, August 12, 2014

EXCO KEADILAN, DAP kekal jawatan, tapi hadkan kuasa Khalid


(Oleh Amirul Azhan)

KUALA LUMPUR 12 OGOS: Enam Exco daripada KEADILAN dan DAP menyokong penuh pelantikan Menteri Besar baharu daripada Pakatan Rakyat dalam masa terdekat.

Semua mereka akan tetap menjalankan tugas mengikut mandat yang ditetapkan oleh parti sementara perkara ini diselesaikan secara baik.

“Kedudukan dan fungsi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanya dalam kapasiti peralihan, sementara menunggu pelantikan MB baru.

“Sebarang keputusan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) perlu diundi supaya fungsi Khalid dapat dihadkan kepada kapasiti peralihan,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Tiga daripada Exco terlibat adalah dari KEADILAN iaitu Rodziah Ismail (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita), Wong Keat Ping (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar) dan Dr Daroyah Alwi (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi & Inovasi).

Manakala tiga yang lain daripada DAP pula adalah Datuk Teng Chang Khim (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian & Penyelidikan), Ean Yong Hian Wah (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu, Pemutihan Kilang Haram) dan Ganabatirau Veraman (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin).

Menurut mereka, untuk mengelakkan sebarang perbincangan mengenai kedudukan parti masing-masing, sebarang perjumpaan dengan Khalid dielakkan kecuali di mesyuarat mingguan MMKN.

Mereka juga menghormati perkenan DYMM Tuanku Sultan Selangor untuk Khalid meneruskan tugas sebagai MB dalam situasi sekarang.

Tambah kenyataan itu, KEADILAN dan DAP akan menggunakan kaedah yang sejajar dengan Undang-undang Tubuh Negeri dan enakmen yang berkenaan bagi mengembalikan semula pemerintahan Kerajaan Selangor kepada Pakatan Rakyat sepertimana yang dipilih oleh rakyat.

“Kami akan tetap meneruskan tugas sehinggalah seorang MB baru daripada Pakatan dilantik bagi menggantikan Khalid,” ujar mereka lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.