`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, August 22, 2014

MBAS arah tanggal poster seksi Piala MB



ALOR SETAR - Gegantung wanita berpakaian seksi yang dijadikan bahan promosi 'Kejohanan Muay Thai Piala Menteri Besar' didapati tidak mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan ditanggalkan serta merta.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, pihaknya hanya menerima surat pemakluman daripada penganjur yang bercadang menganjurkan kejohanan itu September depan, namun permohonan untuk memasang gegantung tidak dilakukan mengikut prosedur.
"Mengikut proses biasa, penganjur perlu mohon kebenaran memasang gegantung, selepas mendapat kelulusan, baru dibenarkan pasang pada tempat-tempat yang dibenarkan, tidak boleh pasang sembarangan," katanya.
Menurutnya, antara syarat ditetapkan terhadap penganjur termasuk membawa contoh gegantung yang siap untuk diteliti sama ada menepati syarat ditetapkan, sebelum dibenarkan dipasang di lokasi tertentu.
"Jika gambar tidak menepati syarat, tentu kita tak benar pasang. Disebabkan penganjur tidak mengikut prosedur ditetapkan, gegantung itu diklasifikasikan sebagai tidak sah," katanya yang mengesahkan gegantung itu dikesan dipasang sekitar bandaraya ini sejak tiga hari lalu.
Mat Noh berkata, MBAS tegas memantau bentuk pengiklanan di mana iklan yang menjolok mata tidak dibenarkan dan peraturan itu dikuatkuasakan sejak tiga tahun lalu.
"Antara kriteria seperti pakaian sopan untuk model wanita bukan Islam manakala wanita Islam mengenakan tudung," katanya.
Katanya, pihaknya akan menghubungi penganjur untuk mendapatkan penjelasan atas kesalahan memasang gegantung tanpa kebenaran.
"Saya tidak akan bertolak ansur dalam hal ini kerana boleh mencalarkan nama baik MBAS termasuk kerajaan negeri berikutan dikaitkan dengan Piala Menteri Besar," katanya.
Semalam, Sinar Harian mendedahkan beberapa jalan utama sekitar bandaraya dihiasi gegantung 'Kejohanan Muay Thai Piala Menteri Besar', namun promosi acara sukan itu dipalit kontroversi apabila menampilkan wanita berpakaian seksi pada gegantung, yang disifatkan
keterlaluan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.