Abdullah (dua, kanan) ketika tiba di SK Jalan Paya Besar.  
Abdullah (dua, kanan) ketika tiba di SK Jalan Paya Besar.

LUNAS - Pentadbiran sekolah dan ibu bapa disarankan supaya tidak menyembunyikan sebarang kegiatan jenayah melibatkan pelajar atau anak mereka dari pengetahuan polis.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, perkara ini adalah kerana jumlah pelajar dan remaja bawah umur yang terlibat jenayah dilaporkan meningkat setiap tahun dan semakin membimbangkan.

Menurutnya, sehingga kini lebih 33 suspek terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal ditahan dan 50 peratus darinya merupakan pelajar sekolah.

"Masalah ini berlaku kerana kurangnya pemantauan keluarga terhadap suspek selain mempercayai semua alasan diberikan oleh anak mereka.

"Terdapat juga dalam kalangan ibu bapa tidak mengetahui anak mereka terlibat dalam jenayah sehinggalah ditahan. Perkara ini tidak seharusnya berlaku sekiranya keluarga memantau pergerakan anak mereka dari awal selain memberikan didikan agama yang sempurna," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau ditemui ketika hadir ke Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Paya Besar dekat sini, baru-baru ini.

Abdullah berkata, sikap ibu bapa yang terlalu melindungi anak merupakan antara faktor ramai dalam kalangan remaja kini terlibat dalam pelbagai masalah sosial.

Katanya, ibu bapa tidak seharusnya terlalu menyebelahi anak dan ada antaranya menyalahkan pihak lain apabila anak mereka ditahan.

“Ramai dalam kalangan ibu bapa yang membenarkan anak mereka menunggang motosikal ke sekolah kerana ia merupakan satu kemudahan. Bagaimanapun dari pemeriksaan dijalankan mendapati lebih 90 peratus pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah tidak mempunyai lesen memandu selain tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

"Ibu bapa dan pihak sekolah seharusnya memantau masalah ini selain memastikan pelajar mempunyai lesen dan cukai jalan tidak tamat tempoh. Remaja kini ada yang terlalu ghairah memiliki motosikal sehingga sanggup membeli motosikal curi. Ini berlaku apabila kenderaan itu dijual dengan harga RM250 hingga RM300 sahaja,” katanya.

Menurutnya, statistik kemalangan maut melibatkan remaja bawah umur dan pelajar turut membimbangkan dan dari sekatan jalan raya dijalankan mendapati remaja berusia 12 hingga 15 tahun antara yang sering ditahan kerana menunggang motosikal secara merbahaya.

“Kita akan mengambil tindakan saman terhadap pemilik motosikal. Kami juga turut memanggil ibu bapa suspek terlibat ke Pejabat Trafik bertujuan menerangkan kesalahan dilakukan. Lebih 90 peratus dari ibu bapa yang ditemui menyatakan mereka tidak tahu kegiatan anak mereka dan tidak sedar mereka keluar rumah.

"Lebih malang lagi apabila mereka terlibat dalam kemalangan. Kita meminta ibu bapa supaya lebih prihatin dan memantau pergerakan anak mereka untuk memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya.