`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, August 15, 2014

PR DALAM PROSES MEMUSNAHKAN DIRI SENDIRI.....


Allah selamatkan Selangor dengan 2 Adun PAS, kata AJK Pusat


Tindakan dua Adun PAS menyokong calon menteri besar baharu Selangor Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah pertolongan Allah, kata AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad. 

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad menganggap tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai pertolongan Allah untuk menyelamatkan Selangor dan Pakatan Rakyat (PR).

Bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, Adun Hulu Klang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin terpaksa membuat "ijtihad" (keputusan) peribadi untuk menyelamatkan PR walaupun PAS hanya akan membuat keputusan rasmi mengenai isu tersebut dalam mesyuarat 17 Ogos ini.

"Dua Adun PAS ini membuka pintu untuk peralihan kuasa ketika Selangor mengalami kebuntuan dalam krisis menteri besar dan Khalid kini sudah tidak mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur hari ini,

"Tindakan kedua-dua Adun PAS ini saya anggap sebagai pertolongan Allah untuk menyelamatkan Pakatan Rakyat dan kerajaan negeri Selangor,” katanya. 

Semalam Adun Hulu Klang dan Adun Morib bersama-sama 28 lagi Adun PKR dan DAP menyatakan secara terbuka mereka hilang kepercayaan terhadap Khalid dan mahu Dr Wan Azizah yang merupakan Adun Kajang menjadi menteri besar Selangor yang baharu.

Khalid yang kini merupakan Adun Bebas selepas dipecat PKR, hanya mempunyai sokongan 13 Adun daripada PAS dan 12 Adun Umno, menjadikannya hanya 26 Adun.

Dzulkefly sebelum ini pernah berkata, PR sedang dalam proses memusnahkan diri sendiri dan hanya bantuan Allah (divine intervention) dapat menyelamatkannya.

"Dengan adanya 30 Adun menyokong Dr Wan Azizah, tidak perlulah Sultan Selangor membubarkan DUN dan menteri besar baharu sudah boleh dilantik.
"Khalid kini sudah tidak mempunyai sokongan majoriti Adun Selangor dan beliau perlulah berundur secara terhormat," katanya.

Dzulkefly berkata, PAS sedar dengan kemarahan penyokong PR dan orang ramai kerana masih belum membuat keputusan ketika krisis besar melanda dan berkemungkinan akan menyebabkan berakhirnya kerjasama dengan PKR dan DAP sejak 6 tahun lalu.

"Tindakan 4 exco PAS itu terus bersama Khalid semata-mata untuk mempertahankan kerajaan negeri Selangor," katanya.


Semalam Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman meminta kedua-dua Adun Hulu Klang dan Adun Morib memberikan penjelasan dalam masa 24 jam.

Khairuddin berkata, sekiranya kedua-dua Adun berkenaan enggan berbuat demikian, mereka bakal berdepan dengan tindakan disiplin.

"PAS Selangor memandang serius tindakan 2 Adun PAS ini yang mengambil pendirian dan bersikap bersendiri tanpa menurut tatacara serta arahan yang ditetapkan parti.

"Saya nasihat kedua-dua Adun ini menarik balik tindakan (menyokong Dr Wan Azizah) atau PAS Selangor akan mulakan tindakan disiplin termasuk melihat kepada kandungan bai'ah (janji) yang dilafazkan sewaktu mereka menjadi calon (Adun)," katanya dalam satu kenyataan semalam.


Walaupun Dr Wan Azizah sudah membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti 30 daripada 56 Adun Selangor, Khalid tetap mengatakan beliau kekal sebagai menteri besar dan hanya proses undi tidak percaya di DUN Selangor dapat menyingkirkannya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.