`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, September 8, 2014

AZMIN ALI SELAKU TIMBALAN PRESIDEN KEADILAN AKUI SECARA TERBUKA KEMELUT POLITIK SELANGOR SEMAKIN KRITIKAL, MOHON SEMUA PIHAK DARI PIMPINAN SAMPAILAH ANGGOTA PARTI AKAR UMBI BERTENANG, JANGAN LAKUKAN TINDAKAN YANG BOLEH MENAMBAH KERUH KEADAAN.



Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menyeru agar pimpinan dan anggota PKR bertenang dalam menghadapi situasi kemelut menteri besar Selangor yang kini dilihat semakin kritikal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu bagaimanapun berkata, beliau yakin situasi berkenaan akan selesai.

"Saya menyeru semua pemimpin dan ahli PKR bertenang serta tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan suasana politik.

"Saya akui kita sedang menghadapi sedikit kesukaran namun saya yakin berdasarkan pengalaman dan semangat muafakat dalam parti dan Pakatan Rakyat (PR), pimpinan PKR akan dapat mengatasi kesukaran sekarang," katanya.

PKR sebelum ini berhadapan dengan dakwaan daripada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkata kemelut menteri besar di Selangor berpunca daripada PKR dan PAS katanya menolak pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar kerana faktor kelayakannya.

"PKR komited dengan PR, perpaduan itu perlu diperkukuhkan. Justeru, saya berharap pimpinan dan anggota tidak melatah, sebaliknya sentiasa berhemah, tenang dan berhikmah dalam semua keadaan

"Saya juga ingin menegaskan dasar PKR yang mendudung sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang merupakan salah satu tunggak kerajaan," kata Azmin, yang juga ahli Parlimen Gombak.

Azmin sebelum ini dicadangkan sebagai calon kedua selain Dr Wan Azizah oleh PAS untuk dilantik sebagai menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau bagaimanapun menolak pencalonan itu kerana ingin memberi laluan kepada Dr Wan Azizah, yang juga isteri kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan itu.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini melahirkan rasa kecewa dengan tindakan PKR dan DAP yang mengingkari arahannya supaya mengemukakan lebih daripada dua nama untuk dipertimbangkan sebagai calon menteri besar Selangor.

Pada masa sama, baginda tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan nama Adun lain daripada PR yang berkelayakan untuk dilantik memimpin negeri terkaya itu.

"Sultan Selangor amat berasa dukacita di atas tindakan parti DAP dan PKR yang ingkar terhadap titah baginda bertarikh 27 Ogos 2014.

"Tindakan parti DAP dan PKR ini menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor," kata Sultan Selangor melalui kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulitnya Datuk Mohamad Munir Bani, hari ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.