`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, September 8, 2014

KANTOI KERANA BAJU TIDUR

Cubaan seorang pelajar lelaki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menipu penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) kononnya dia bersendirian di dalam bilik hotel di Jalan Kampung Air, di sini, malam kelmarin, gagal selepas pihak berkuasa ternampak sebahagian baju tidur wanita di bawah gumpalan selimut.



Dalam operasi jam 12.30 tengah malam itu, lelaki berusia 24 tahun yang berseluar pendek mendakwa menginap seorang diri di dalam bilik sebelum seorang penguat kuasa JHEAINS menyedari terdapat kain seperti baju tidur wanita di bawah selimut di atas katil.


Sebaik diselak, penguat kuasa menemui seorang gadis berusia 23 tahun sedang menyorok sebelum kedua-duanya mengaku menginap bersama di hotel terbabit.



Ketika disoal siasat, lelaki berkenaan mengaku gadis terbabit adalah teman wanitanya dan memberi alasan terpaksa menyewa bilik kerana mereka terlalu penat bersiar-siar di sekitar bandar raya.


Mereka juga mengaku tidak mempunyai hubungan sah sebagai suami isteri menyebabkan kedua-duanya terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut.


Penolong Penguat Kuasa JHEAINS Khamis Jamil berkata, sepasukan anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan rambang sebelum mengetuk sebuah pintu bilik hotel dihuni pasangan berkenaan.

“Pada awalnya, penghuni bilik ini mengaku menginap seorang diri sebelum seorang penguat kuasa menyedari baju tidur wanita di atas katil.


“Selepas menarik selimut, penguat kuasa terkejut menemui seorang gadis yang hanya berbaju tidur di atas katil,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.

Khamis berkata, pemeriksaan lanjut mendapati mereka bukan pasangan suami isteri dan ditahan kerana berdua-duaan di dalam bilik.


“Walau apapun alasan mereka, ia tetap menjadi satu kesalahan kerana berdua-duaan di dalam bilik tanpa ikatan sah.


“Kedua-dua dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya.


Sepanjang operasi berkenaan, pihaknya berjaya menahan empat pasangan lain dipercayai berkhalwat di empat hotel berlainan sekitar bandar raya.


“Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 84 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 kerana berkhalwat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.