`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, September 13, 2014

Pengambilalihan Air Selangor: Kenapa Perjanjian Ini Sulit Dan Dirahsiakan?

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata rakyat Selangor mungkin menanggung bayaran lebih tinggi jika bayaran kepada Syarikat Pengeluar Air Sdn Bhd yang diputuskan mahkamah lebih tinggi daripada tawaran asal. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 September, 2014.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mempertikaikan kos penstrukturan semula industri air bernilai RM7.45 bilion yang ditandatangani melalui perjanjian antara Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Putrajaya pagi tadi.
Beliau berkata, jumlah berkenaan bukan kos sebenar yang akan ditanggung rakyat Selangor kerana ia tidak termasuk kos mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Sdn Bhd (Splash).
Katanya, ada kemungkinan rakyat Selangor akan menanggung bayaran lebih tinggi jika akhirnya bayaran kepada Splash yang dirunding atau diputuskan oleh mahkamah adalah lebih tinggi daripada tawaran awal.
"Tawaran terakhir Khalid kepada Splash ialah sebanyak RM1.851 bilion (tanggungan hutang dan pampasan liabiliti) iaitu hampir sama dengan jumlah RM2 bilion yang kononnya berjaya dikurangkan oleh beliau hasil perjanjian pada hari ini.
"Saya beranggapan kos sebenar hanya diketahui selepas pengambilalihan Splash selesai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan Selangor membuat tawaran asal penstrukturan semula industri air melibatkan pengambilalihan empat syarikat konsesi air bernilai RM9.65 bilion.
Empat syarikat itu adalah Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Konsortium Abass Sdn Bhd (Abass) dan Splash.
Tetapi Khalid mengumumkan perjanjian yang ditandatangani dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) hari ini hanya bernilai RM7.45 bilion melibatkan tiga syarikat konsesi sahaja tanpa Splash.
Ahli Parlimen Pandan itu turut meramalkan besar kemungkinan pengambilalihan Splash akan dikendalikan oleh Putrajaya sekiranya Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 digunakan, atau melalui rundingan terus.
"Ini bermakna kerajaan Selangor sudah hilang kawalan dalam menentukan kos keseluruhan penstrukturan semula industri air, kerana rundingan dengan Splash akan dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.
Beliau turut meragui sama ada kerajaan Selangor berkuasa penuh dalam pengurusan syarikat baru pemegang konsesi atau dikawal secara bersama dengan Putrajaya, termasuk aset negeri yang melibatkan tanah dan loji.
"Ada 1,001 soalan yang boleh ditanya selagi perjanjian ini sulit dan dirahsiakan," kata Rafizi sambil menasihati Khalid segera mendedahkan perjanjian itu kepada rakyat agar mereka dapat menilainya sendiri.
"Tindakan merahsiakan perjanjian dan merundingkannya di belakang wakil rakyat dan pimpinan Pakatan Rakyat tidak ubah sepertimana perjanjian konsesi dengan Syabas dan Puncak Niaga mula-mula dimeterai dahulu," kataya.
Tegasnya, selagi perjanjian ini dirahsiakan, rakyat hanya mampu meneka dan tidak boleh membuat sebarang penilaian mengenai baik atau buruk perjanjian itu.
"Ketidaktelusan inilah yang menimbulkan keraguan terhadap Khalid selama ini," katanya.
Beliau mendedahkan, Khalid sejak awal tidak pernah memaklumkan sebarang isi kandungan rundingan atau perjanjian walaupun Majlis Presiden Pakatan memberi mandat kepada tiga wakil setiap parti, iaitu Tony Pua (DAP), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS) dan dirinya untuk meneliti isi kandungan dokumen.
Malah katanya, Majlis Presiden Pakatan pada 6 Mac lalu, yang dihadiri pemimpin atasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang, juga memutuskan Khalid tidak boleh memeterai sebarang perjanjian tanpa persetujuan tiga wakil itu.
"Arahan itu telah diingkari berkali-kali. Oleh sebab itu, perjanjian yang dimeterai pada hari ini dibuat tanpa sebarang maklumat yang disampaikan kepada saya atau pun menerima sebarang maklum balas dari wakil Pakatan," katanya. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.