Nasib peniaga Melayu tidak terbela

KIRA-kira 40 tahun lalu, Wisma Yakin begitu popular kerana bangunan 11 tingkat di Jalan Masjid India itu terkenal sebagai ruang rezeki peniaga Melayu.

Bangunan itu bukti bertapaknya kuasa perniagaan Melayu di tengah bandar raya khususnya tekstil dan dianggap syurga membeli-belah suatu ketika dulu.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lepas kemeriahan Jalan TAR hanya dirasai ketika Ramadan dan Syawal.

Kompleks yang menempatkan 30 unit kedai di tingkat bawah yang selama ini menjadi kebanggaan warga kota membeli baju Melayu kian hilang serinya.

Sebaliknya bazar moden di depan Wisma Yakin dan kehadiran pusat membeli-belah serta gedung tekstil yang banyak telah ‘mengancam’ mata pencarian peniaga asal di wisma berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, aktiviti peniagaan peniaga Melayu di Wisma Yakin masih seperti biasa tetapi berdasarkan wajah redup mereka, adakah perniagaan itu membawa untung?

Dilema peniaga di Wisma Yakin, Kuala Lumpur bukanlah isu baharu apabila berlanjutan sejak 10 tahun lalu, akibat penubuhan 'bazar moden' yang pada awalnya bertujuan memberikan 'situasi menang-menang' kepada peniaga Melayu.

Entah di mana silapnya kini bangunan itu umpama tidak wujud di kalangan pelanggan generasi baharu. Di mana silapnya?

Pengerusi Persatuan Peniaga Wisma Yakin, Datuk Maideen Kadir Shah berkata, pada 1970- an, pedagang mengadakan kerjasama dengan badan berkanun iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam membangunkan bazar berbentuk gerai kecil kepada satu bangunan 11 tingkat.

Katanya, di tingkat bawah bangunan itu diberikan pemilikan kepada peniaga asal tapak di situ manakala tingkat dua dan ke atas milik PKNS.

“Pada ketika itu, kebanyakan peniaga menjual pakaian Muslim dan Muslimah seperti songkok, baju Melayu, samping, samping songket, telekung, capal dan sebagainya.

“Oleh itu, tempat ini terkenal. Pada 1990-an, transit aliran ringan (LRT) dibangunkan menyebabkan kawasan ini popular sekali gus beri impak besar kepada peniaga di Wisma Yakin,” katanya.

Namun sekitar tahun 2000, kawasan itu mula dibanjiri penjaja haram.

“Kami buat bantahan mengenai masalah dihadapi. Langkah diambil oleh PBT ialah membina bazar yang kononnya untuk memberikan situasi menang- menang kepada peniaga Wisma Yakin dan penjaja-penjaja sekitar,” katanya.

Maideen berkata, sepanjang 10 tahun, pelbagai usaha telah dilakukan oleh peniaga Wisma Yakin termasuklah menghantar buku laporan dan surat kepada pihak berkenaan namun masih tidak berubah.

“Kami bimbang, Wisma Yakin sebagai mercu tanda perniagaan Melayu di Kuala Lumpur akan hilang. Bukti Melayu berdagang di sini (Kuala Lumpur) sudah lama dan Wisma Yakin menunjukkan peniaga Melayu masih berada di sini,” katanya.