`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, November 21, 2014

Banjir Di Terengganu Bertambah Buruk









Banjir di Terengganu bertambah buruk malam ini apabila 4,813 orang dipindahkan berbanding 3,863 orang petang semalam. 

Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu Roslina Ngah dalam kenyataanya berkata sehingga 9 malam tadi, dua lagi pusat pemindahan banjir dibuka masing-masing di daerah Setiu dan Besut menjadikan jumlah keseluruhan pusat pemindahan yang dibuka kini ialah 38 buah. 

"Di daerah Setiu, pusat pemindahan yang baru dibuka ialah Balai Raya Kampung Jelapang yang menempatkan 16 mangsa dari lima keluarga. 

"Di Besut pula, pusat pemindahan yang baru dibuka ialah Surau Kampung Pengkalan Kubur yang melibatkan 43 mangsa dari 14 keluarga," katanya. 

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat banjir di negeri ini dengan menghubungi bilik gerakan bencana negeri di talian 09-6316021 atau melayari laman web etindakan.terengganu.gov.my. 

Sementara itu di Kelantan, jumlah mangsa banjir di tiga pusat pemindahan di Kota Bharu dan Pasir Puteh meningkat kepada 130 orang malam ini berbanding 49 orang petang tadi. 

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, seramai 77 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Mulong dan 28 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tiong di daerah ini, manakala 25 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja, Pasir Puteh. 

Sementara itu, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas mencatatkan bacaan 9.11 meter yang melepasi paras bahaya 9 meter. 

Sungai-sungai lain masih belum mencecah paras amaran dan tiada jalan utamaditutup berikutan banjir. 

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim, ketika melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Tiong di sini, menasihatkan mereka yang terlibat dengan banjir supaya tidak meninggalkan barang berharga di dalam rumah bagi mengelak kejadian pecah rumah. 

Beliau menasihatkan penduduk supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan berpindah segera bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. 

Turut sama dalam lawatan itu ialah Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Rohaimi Md Isa dan Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Azli Mohd Noor. - Bernama 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.