`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, November 20, 2014

Pegawai SPRM kes Beng Hock layak dinaikkan pangkat, kata Putrajaya

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata siasatan masih diteruskan dan jika didapati bersalah kemudian, pangkat pengawai penyiasat dalam kes Teoh Beng Hock akan ditarik balik. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 November, 2014. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata siasatan masih diteruskan dan jika didapati bersalah kemudian, pangkat pengawai penyiasat dalam kes Teoh Beng Hock akan ditarik balik. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 November, 2014. 
Mohd Anuar Ismail, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kes Teoh Beng Hock yang kenaikan pangkatnya dipertikaikan beberapa pihak, melalui proses sewajarnya sebelum dinaikkan pangkat, kata Putrajaya hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata setakat ini, beliau dan pegawai SPRM lain yang disiasat didapati bersih daripada sebarang kesalahan, namun siasatan masih diteruskan dan jika didapati bersalah kemudian, pangkatnya akan ditarik balik.
"Pegawai tersebut melalui satu proses kenaikan yang ketat dan teratur selari dengan peraturan dan prosedur Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Dalam satu jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen DAP Teo Nie Ching pada Isnin, Low berkata Anuar dinaikkan pangkat dari Gred 44 pada 2009 ke Gred 48 sekarang.
Beliau adalah seorang daripada tiga pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan Teoh selain Hishamuddin Hashim dan Mohd Ashraf Mohd Yunus yang masing-masing masih di gred sama seperti pada 2009.
Pada 5 September, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dibuat Mahkamah Koroner dalam kes Teoh dan memutuskan kematiannya itu akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Keputusan sebulat suara panel tiga anggota itu memerintahkan siasatan lebih terperinci dijalankan berkaitan kematian itu, tanpa mengecualikan pegawai SPRM kerana kematian mendiang semasa dalam tahanan SPRM.
Low berkata, selari dengan peraturan perkhidmatan awam, Anuar tidak disabitkan dengan sebarang tuduhan dan kesalahan jenayah.
"Justeru, beliau wajar diberi pertimbangan untuk kenaikan gred sebagaimana pegawai-pegawai lain atas prinsip 'innocent until proven guilty'," katanya.
Semalam, keluarga Teoh bertemu Low dan menyuarakan kekesalan Anuar dinaikkan pangkat.
Mereka merayu kepada menteri-menteri di Putrajaya memberikan keadilan kepada kematian bekas pembantu exco Selangor daripada DAP itu.
Low berkata, susulan keputusan Suruhanjaya Diraja Siasatan Berkenaan Kes Teoh Beng Hock, SPRM juga menubuhkan sebuah Pasukan Siasatan Khas yang bertanggungjawab menyiasat sekiranya wujud kesalahan atau pelanggaran oleh pegawai SPRM yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya berkenaan.
Kesalahan atau pelanggaran itu merujuk Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Akta SPRM 2009 dan mana-mana peraturan atau arahan daripada Pengurusan Tertinggi SPRM berkaitan prosedur siasatan.
SPRM juga menyediakan suatu laporan kepada Jawatankuasa Aduan yang ditubuhkan mengikut Seksyen 15 Akta SPRM bagi dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan.
Pada masa yang sama, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat elemen kesalahan jenayah dilakukan oleh pegawai terbabit.
"Siasatan pihak PDRM mendapati tiada elemen kesalahan jenayah dilakukan pegawai-pegawai SPRM.
"Peguam Negara setelah mengkaji Kertas Siasatan berkenaan juga bersetuju dengan hasil siasatan yang dijalankan pihak PDRM," kata Low. 
Katanya, hasil siasatan Jawatankuasa Aduan SPRM juga menunjukkan tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dapat dibuktikan terhadap pegawai-pegawai SPRM itu.
"Ini menunjukkan hasil siasatan PDRM selari dengan keputusan dibuat Suruhanjaya Diraja Siasatan."
Oleh kerana siasatan mengenai kes Teoh masih dijalankan pihak PDRM susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada September, Low berkata, diharap semua pihak akan memberi kerjasama agar siasatan sepenuhnya dapat dijalankan.
"Kerajaan memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Akta SPRM berdasarkan hasil siasatan PDRM kelak.
"Untuk makluman, sekiranya pegawai ini didapati bersalah, beliau akan kehilangan pangkat dan kemudahan-kemudahan lain yang berkaitan," katanya.
- TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.