`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, December 8, 2014

AZMIN ALI SOKONG TINDAKAN ISTANA SELANGOR TARIK GELARAN ‘DATUK SERI’ ANWAR

Chikgu Bard
(Suara TV) – Ahli PKR yang digantung Badrul Hisham Shaharin hari ini mendakwa bahawa Menteri Besar Selangor Azmin Ali menyokong tindakan istana untuk membatalkan gelaran “Datuk Seri’ yang disandang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, ini kerana Azmin adalah ahli Dewan Diraja Selangor yang membuat keputusan untuk membatalkan gelaran Anwar itu.
“Baginda membuat keputusan secara demokrasi, baginda membawanya kepada Dewan Diraja Selangor dan ia telah memutuskannya sebulat suara.
“Siapakah ahli dewan itu? … Orang yang duduk di sebelah sultan adalah Azmin Ali selaku menteri besar,” katanya dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, Pejabat Menteri Besar ketika dihubungi berkata enggan mengulas berhubung dakwaan itu hari ini.
Sultan Selangor, Sultan Sha­rafuddin Idris Shah sebelum ini memutuskan untuk menarik balik gelaran Datuk Seri yang diberikan kepada Ketua Pembangkang itu pada 1992.
Pembatalan darjah kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSSA) itu berkuat kuasa pada 3 November lalu.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan memberitahu, gelaran itu ditarik balik berikutan tindakan dan perlakuan Ketua Pembangkang itu sejak akhir 2013 yang mempersoalkan kuasa dan kewibawaan Sultan Selangor dan institusi raja dalam menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar tahun ini.
Katanya, Anwar turut mempersoalkan hal-hal berkaitan isu agama Islam yang mana Sultan Selangor mempunyai kuasa eksekutif dan sebagai ketua agama seperti termaktub di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
“Tindakan dan perlakuan beliau adalah tidak lagi sesuai untuk memegang darjah kebesaran itu,” katanya.
Selain pernah menerima darjah kebesaran dari Selangor, Anwar juga telah menerima anugerah yang membawa gelaran yang sama dari Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.
Ketegangan dengan pihak istana bermula apabila Sultan Sharafuddin ketika kemelut pelantikan menteri besar telah bertitah agar Pas, PKR dan DAP mencadangkan lebih dua nama daripada parti masing-masing sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu, untuk memudahkan baginda menentukan calon yang berkelayakan untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Anwar yang juga Penasihat PKR tetap dengan keputusan menamakan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor yang baharu sebagai muktamad.
Sementara itu, PKR dan DAP tetap berkeras mencalonkan Wan Azizah untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Baginda amat berasa dukacita di atas tindakan DAP dan PKR yang ingkar terhadap titah baginda bertarikh 27 Ogos lalu dan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor ketika itu menyatakan tindakan DAP dan PKR itu menggambarkan kebiadaban kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor.
Selepas itu, baginda juga menegur Penasihat PKR itu kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat dan mengelirukan berhubung amalan menghantar satu nama calon menteri besar kepada Sultan sebagai amalan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Rentetan itu, pihak istana menerima surat yang ditandatangani Anwar pada 10 Ogos lalu memohon untuk Wan Azizah menghadap Sultan bagi memberi penjelasan dan penerangan keputusan yang diputuskan PKR, namun baginda menolak pertemuan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.