Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini menyifatkan projek membasmi kemiskinan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, 1Azam, gagal dan mempunyai banyak kelemahan, termasuk memilih peserta yang tidak layak menerima bantuan.
Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamad berkata, projek berkenaan dijalankan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta melanggar peraturan perolehan yang ditetapkan.
"Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah pemilihan peserta 1Azam yang tidak melalui E-Kasih, bukan kumpulan sasar.
"Juga, justifikasi pembelian barangan tidak dibuat dan peserta tidak mempunyai komitmen dengan peralatan yang dibekalkan, serta peserta 1Azam yang tidak dapat dikesan," kata Nur Jazlan pada satu sidang media di Parlimen hari ini.
Selain gagal mematuhi SOP, program berkenaan juga, katanya, tidak melakukan kajian keperluan dan tidak menyemak kelayakan peserta.
"Tujuan utama 1Azam ialah membantu mereka yang berpendapatan rendah menjadi usahawan dan mendapatkan pendapatan.
"Namun, peraturan perolehan tidak digunakan dalam memilih pembekal barangan kepada peserta," kata ahli Parlimen Pulai itu.
Nur Jazlan juga berkata, PAC akan memanggil bekas ketua kementerian itu, Datuk Seri Norul Ainul Mohd Nor memberi penjelasan memandangkan mereka yang berada di kementerian sekarang baru dilantik.
"Mereka hanya dilantik pada 2014 dan tidak terlibat menguruskan program ini.
"Atas sebab itu, PAC akan panggil Norul. Banyak yang beliau kena jawab, kenapa tidak ikut tatacara yang ditetapkan kerajaan," katanya.
Katanya, PAC bagaimanapun menerima baik penjelasan ketua setiausaha kementerian sekarang berhubung langkah yang diambil bagi tujuan penambahbaikan.
Nur Jazlan berkata, PAC turut akan memanggil Datuk Syed Abd Rahman Syed Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara ketika projek 1Azam dilaksanakan, bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
- TMI
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.