`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, March 15, 2015

1MDB – Pesroalan 'Survival' Bangsa Dan Negara





Bagi aku sesiapa yang mengatakan bahawa membangkitkan isu IMDB sebagai satu mainan politik sebenarnya boleh disifatkan sebagai pengkhianat bangsa dan negara. Apabila Tun Mahathir sudah tampil kehadapan dan menyarankan beberapa langkah yang perlu diambil oleh pihak-pihak tertentu demi menyelamatkan kedudukan kewangan negara, maka dengan sendirinya membayangkan keadaan negara kita dalam keadaan yang amat membimbangkan. 

Tetapi yang menghairankan ialah pihak-pihak yang berkaitan dengan 1MDB masih lagi mahu menegakkan benang basah mereka. Masih mempertahankan bahawa 1MDB seolah-olah masih ‘ok’ dan tidak apa yang perlu dibimbangkan. Dan media milik kerajaan juga dengan penuh ‘bangga’ menyatakan bahawa 1MDB sentiasa dipolitikkan dan sentiasa menuding jari ke arah YB Rafizi dan YB Tony Pua yang memperlihatkan seolah-olah tokoh-tokoh ini berhasrat untuk merosakkan bangsa dan negara dengan pendedahan yang dibuat oleh mereka. Malah ada Menteri dan Timbalan Menteri yang sentiasa terpekik dan terlolong mempertahankan ‘kehebatan’ IMDB.

Orang kampung tidak tahu selok belok IMDB. Orang UMNO juga tidak faham tentang selok belok IMDB. Malah hampir kesemuanya pemimpin bahagian UMNO tidak tahu apa sebenarnya IMDB dan tentulah tidak dapat mereka menjelaskan kepada pengikut mereka tentang IMDB dalam ertikata yang sebenarnya. Dan apabila dijemput ke PWTC oleh beberapa ‘orang suruhan yang berkepentingan’ untuk mendengar penjelasan daripada DS Mohd Najib maka berduyun-duyunlah mereka datang menyahut panggilan seperti yang digambarkan dalam puisi lama orang Melayu,

Pukul tabuh larangan
Palu gong pelaung
Titir canang pemanggil
Yang capik datang bertongkat
Yang buta beraba-raba
Yang tuli leka bertanya
Yang kecil terambin lintang Yang jarak tolak-tolakan
Yang pendek bertinjau-tinjau
Yang kurap mengekor angin
Yang pekak pembakar meriam
Yang buta penghembus lesung
Yang lumpuh penghalau ayam
Yang pekung penjemuran
Yang kurap pemikul buluh

Maka ‘meriahlah’ PWTC dengan tepuk sorak kegembiraan mendengarkan penjelasan yang disampaikan oleh Perdana Menteri. Alangkah gembiranya pihak yang menganjurkan perjumpaan itu memandangkan bahawa program IMDB mendapat sokongan ketua bahagian UMNO seluruh negara. Sokongan mereka adalah penting. Seolah-olah persetankan pandangan rakyat yang lain. Seolah-olah rakyat Malaysia yang bukan ahli UMNO seperti sampah yang tidak mempunyai sebarang nilai.

Ramai pemimpin UMNO yang datang tidak tahu menahu tentang IMDB. Mereka ada mendengar tentang IMDB disuarakan oleh pihak pembangkang. Mungkin mereka merasakan apa yang disuarakan oleh pembangkang itu merupakan mainan politik, apatah lagi media arus perdana semacam mengatakan begitu. Lantas pemimpin UMNO seluruh negara tidak peka dengan keadaan negara yang sudah berada diambang yang amat membimbangkan.

Tambah membimbangkan mereka apabila Tun Mahathir mengatakan melalui blognya ‘Che Det” 
Rakyat masih tidak puas hati berkenaan 1MDB. Mereka bincang perkara ini dimana sahaja. Jika mereka tidak puas hati dan tidak sokong Barisan Nasional (BN) dalam PRU akan datang, BN mungkin kalah. Dan jika BN ditolak, sokongan kepada Presiden oleh pemimpin bahagian UMNO tidak lagi bermakna.

1MDB bukan buat hutang biasa seperti Kerajaan yang biasanya berjumlah hanya ratusan juta sahaja. 1MDB telah hutang berbillion Ringgit. Walaupun 1MDB bukan Kerajaan tetapi ia adalah badan yang ditubuh dan dimiliki oleh Kerajaan sepenuhnya dengan modal sebanyak 1 juta Ringgit. Ada juga jaminan oleh Kerajaan terhadap beberapa hutang 1MDB. Oleh itu Kerajaan tidak boleh dakwa bahawa ini masalah syarikat dan bukan masalah Kerajaan.

Nama Jho Low disebut berkali-kali. Demikian juga nama-nama syarikat miliknya. Tuduhan dibuat berkenaan dengan pembelian rumah mewah olehnya di London, New York dan Holywood. Lepas itu rumah dijual kepada anak tiri Perdana Menteri dengan harga ratusan juta Ringgit. Sudah tentu ini tidak disebut dalam akaun 1MDB yang akan diperiksa oleh AG.

Pada mulanya duit Riza Aziz dikatakan warisan harta kekayaan dari keluarga Tun Razak. Kemudian dakwaan ini dinafi. Soalannya jika tidak dari keluarga Tun Razak dari mana datang wang yang banyak ini. Apakah ianya hasil dari perniagaan? Jika ya, apa perniagaan, dimana? Sudahkah cukai pendapatan dibayar? Kepada Kerajaan mana?

Pelaburan ratusan juta untuk filem “The Wolf of Wall Street” oleh Riza Aziz, anak tiri Dato Sri Najib datang dari mana? Filem ini tidak memberi keuntungan. Tidak mungkin filem ini membiayai rumah mewah yang dibeli dengan ratusan juta Ringgit atau Dolar Amerika.

Semua perkara-perkara ini tidak akan terdapat dalam akaun 1MDB. Tetapi rakyat ingin tahu kerana melibatkan Jho Low. Dan Jho Low disebut-sebut berkenaan dengan pengurusan 700 juta USD dari 1MDB.

Banyak lagi yang diperkatakan oleh Tun Mahathir. Dan pastinya Tun lebih tahu tentang hal-hal yang berkaitan dengan pentadbiran negara. Siapa lagi yang rakyat boleh meletakkan harapan untuk mendapatkan penjelasan jika tidak kepada beliau yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun.

Rakyat hanya mampu berdoa agar negara dan bangsa Malaysia dilindungi Allah. 
abuhassanadam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.