`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, March 3, 2015

Bahaya Apabila PM Hilang Jalan Cerita

najibkadir

A Kadir Jasin


PEMBAHAS “berasiam” dalam komen kepada tampalan bertajuk “A Cabinet Snub For 1MDB?” antara lain, berkata:

“Nampaknya telah disebut secara jelas siapa yang membiayai pengajian anak-anak almarhumTun Abdul Razak. Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan bahawa arwah Tan Sri Mohamed Noah (Beirut) sebagai datuk (sebelah ibu) kepada merekalah yang menanggung semuanya. Disebut juga kaitannya dengan mendiang Tan Sri Lim Goh Tong dan Genting.

Beliau menambah: “....telah beberapa kali juga jasa baik DAKJ dipohon untuk mengulas mengenai yayasan berkenaan sebelum isu pewarisan ini menjadi hangat. Sebagai orang lama yang terlibat dalam kewartawanan DAKJ pasti mempunyai maklumat lebih banyak mengenai yayasan berkenaan. Dedah fakta takkan nak kena saman kot. Kalau saman pun gerenti yang kena saman tidak kalah. Boleh kan.”

Terima kasih. Selain “berasiam”, beberapa orang pembahas lain turut menyebut mengenai (Tan Sri) Mohamad Noah Omar. Sebagai jawapan, sila 
pertimbangkan hujah dan fakta berikut:

1. Siapa yang membiayai pendidikan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak bukanlah isunya. Tidak ada siapa pun yang bertanya atau mempersoalkan pembiayaan pendidikan Mohd Najib.

2. Yang menjadi isu dan pertikaian ialah dakwaan mengenai gaya hidup mewah yang dipamerkan oleh Mohd Najib, isterinya (Datin Seri Paduka) Rosmah Mansor dan anak tirinya, Riza Abdul Aziz – anak Rosmah dengan suami pertamanya.

3. Turut dipersoalkan adalah hubungan mereka bertiga dengan orang misteri Jho Taek Low dan dakwaan hubungan sulit Jho Low dengan 1Malaysia Development Berhad seperti yang dilaporkan oleh akhbar New York Times pada 8 Feb lalu.

4. Antara lain, NYT memetik seorang jurucakap Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebagai berkata “…neither any money spent on travel, nor any jewellery purchases, nor the alleged contents of any safes are unusual for a person of the prime minister’s position, responsibilities and legacy family assets.” (“…sama ada mana-mana wang yang digunakan untuk perjalanan atau barang kemas, atau dakwaan kandungan mana-mana peti besi adalah bukan luar biasa bagi mana-mana orang yang sama kedudukan dengan perdana menteri, tanggungjawab dan harta peninggalan keluarga.”

5. Media massa bebas dan atas talian terperanjat dengan kenyataan itu yang seolah-olah memberi gambaran bahawa bapa beliau, Allahyarham (Tun) Abdul Razak Hussein meninggalkan harta pusaka yang banyak.

6. Empat orang adik beradik Mohd Najib - (Datuk) Johari, (Datuk) Nizam, (Datuk) Nazim and (Datuk Seri) Nazir -mengeluarkan kenyataan pada 24 Feb menyesali hujah Pejabat Perdana Menteri itu. Mereka berkata: “Kami amat bimbang yang beberapa berita dan tampalan sejak akhir-akhir ini telah menimbulkan spekulasi mengenai bentuk dan jumlah harta yang ayahanda kami, Tun Abdul Razak, tinggalkan.

"Kami ingin menyatakan secara bertulis bahawa Tun Abdul Razak adalah seorang yang sangat berprinsip dan dikenali oleh semua orang yang akrab dengan beliau sebagai sangat berjimat cermat dan berintegriti tinggi, dan sebarang kenyataan atau kesimpulan yang bercanggah dengannya adalah bohong dan menyeleweng daripada memori, sumbangan beliau serta pengorbanan beliau kepada negara.

“Kami mengutuk sesiapa saja yang menodai memori beliau biar apa sekali pun motifnya.”

7. Kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu telah menyebabkan sesetengah pihak, khususnya yang tidak mengenali Abdul Razak, mempersoalkan integriti beliau sebagai Perdana Menteri yang telus dan bebas rasuah.

8. Lima hari kemudian, pada 1 Mac, Berita Harian dan Utusan Malaysia sekonyong-konyong menyiarkan kenyataan Mohd Najib memuji sifat jimat-cermat dan integriti bapanya.

9. Sebelum itu boleh dikatakan semua anggota media arus perdana membakulsampahkan kenyataan empat adik-beradik Mohd Najib mengenai hal yang sama. Hanya media bebas dan media atas talian saja memberikan ruang kepada mereka.

10. Kata Mohd Najib, bapanya tidak pernah terlibat dengan amalan rasuah sama ada dalam politik atau ketika dalam perkhidmatan awam. Utusan juga melaporkan yang Mohamad Noah membiayai pendidikan Mohd Najib adik-beradik.

11. Malangnya, apabila nama Mohamad Noah diseret ke dalam isu harta pusaka peninggalan yang didakwa memanfaatkan Mohd Najib maka timbullah pula persoalan mengenai siapa Mohamad Noah dan apakah punca kekayaan beliau.

12. Orang yang mengenali Mohamad Noah, yang nama jolokannya Noah Beirut, akan mengingati beliau sebagai bapa kepada dua wanita yang mengahwini dua Perdana Menteri Malaysia – (Tun) Rahah mengahwini Abdul Razak dan Allahyarhamah (Tun) Suhaila mengahwini Allahyarham (Tun) Hussein Onn.

13. Dalam dunia politik, beliau diingati sebagai antara pengasas Umno dan Speaker Dewan Rakyat.

14. Tetapi pembabitan dalam perniagaanlah yang menjadikan beliau istimewa dan kontroversial. Beliau adalah rakan kongsi “Raja Judi” Malaysia, mendiang (Tan Sri) Lim Goh Tong. Mohamad Noah dan Lim mengasaskan projek kasino tunggal Malaysia di Genting Highlands pada tahun 1965.

Tiga Sahabat: Tunku Abdul Rahman, Noad dan Lim
15. Lim, dalam memoirnya “My Story” antara lain, berkata: “On April 27, 1965, Tan Sri Haji Mohd Noah and I set up a private company called Genting Highlands Sdn Berhad. Between the years 1965 and 1970, we made applications to the Pahang and Selangor Governments for 4,940 hectares and 1,110 hectares of freehold land respectively.” (Pada 27 April 1965, Tan Sri Haji Mohd Noah dan saya menubuhkan syarikat persendirian bernama Genting Highlands Sdn Bhd. Antara tahun 1965 dan 1970 kami memohon kepada kerajaan Pahang dan Selangor bagi mendapatkan masing-masing 4,940 hektar dan 1,110 hektar tanah pegangan bebas.) 

16. Masalahnya, adakah perlu Mohd Najib dan media massa arus perdana yang menyokong beliau membangkitkan hal Mohamad Noah membiayai pendidikan cucu-cucunya kerana tidak dapat tidak orang yang mengetahui latar belakang Mohamad Noah akan mengaitkan beliau dengan lesen kasino?

17. Di manakah dan apakah peranan penasihat media, komunikasi, perang saraf dan pereka imej Mohd Najib yang begitu ramai dan tergolong di dalamnya seorang penasihat orang putih yang dicamkan sebagai Paul Stadlen.


18. Sejak akhir-akhir ini Stadlen menjadi bahan berita sensasi media atas talian kerana gaya hidupnya. Yang berminat boleh baca di sini.

19. Apakah semua ini ciri-ciri sokong membawa rebah dan harapkan pagar, pagar makan padi atau, lebih teruk daripada itu ia berupa petanda bahawa Perdana Menteri sedang kehilangan jalan cerita (plot)?

Wallahuaklam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.