`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, March 11, 2015

Barangkali Mereka Ini Murid Yang Terlalu Pintar...



Masih ramai yang bercakap tentang Himpunan Solidariti menyokong Najib Razak berkaitan 1MDB yang dihadiri oleh seramai 153 Ketua UMNO Bahagian pada Ahad lalu.

Selain ketidakhadiran beberapa Ketua Bahagian termasuk Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir serta ramai yang lain dan mengapa Perdana Menteri menggunakan pintu belakang yang terus menjadi bualan, hasil pertemuan itu yang mengatakan mereka berpuas hati dengan penjelasan mengenai 1MDB juga menjadi topik perbualan yang berterusan.

Pada mulanya tiada yang berasa hairan atau terkejut bila dilaporkan bahawa semua Ketua Bahagian yang hadir berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Perdana Menteri dalam pertemuan itu.

Rata-rata mengatakan oleh kerana tujuan pertemuan itu ialah untuk menyatakan sokongan kepada Najib itu, maka kenyataan yang mengatakan mereka berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan adalah sesuatu yang wajar dan normal.

Memandangkan mereka  berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri, tentunya ramai yang beranggapan bahawa banyak soalan telah dikemukan dalam pertemuan itu. Biasanya natijah berpuas hati itu hanya muncul setelah semua soalan atau keraguan mengenai 1MDB mendapat penjelasan yang meyakinkan daripada Najib.

Tetapi apabila diketahui bahawa pertemuan dengan Perdana Menteri itu hanyalah berbentuk sehala saja di mana hanya Perdana Menteri yang bercakap dan tiada sesiapa  di kalangan Ketua Bahagian yang menanyakan soalan, ramai yang melihatnya sebagai sesuatu yang pelik.

Bagaimana mereka boleh berpuas hati jika sekadar mendengar saja Perdana Menteri bercakap?

Apakah Ketua Bahagian menelan bulat-bulat semua penjelasan Perdana Menteri tanpa terdetik sedikit pun mahu meminta penjelasan lebih lanjut?

Adakah penjelasan yang dibuat oleh Najib telah mencakupi semua aspek yang menjadi percakapan ramai dan sebagaimana yang telah didedahkan oleh media sebelum ini?

Tidak adakah Ketua Bahagian yang mahu bertanya seperti mengapa hutang 1MDB terlalu banyak, mengapa pembelian pelaburan dibuat dengan harta tinggi, masih adakah wang Pulau Cayman, benarkah Jho Low "menyonglap banyak wang" sebagaimana yang didedahkan oleh Sarawak Report dan berbagai soalan lagi?

Tidakkah ternampak mustahil penjelasan Najib yang berbentuk sehala itu dengan mudah dapat memuaskan hati semua Ketua Bahagian yang hadir?

Jika diperhatikan dalam kehidupan seharian misalnya, perkara-perkara berkaitan agama yang berdasarkan Al Quran yang disampaikan melalui ceramah atau kuliah pun tidak pernah sunyi daripada berbagai soalan atau pertanyaan susulan agar benar-benar puas hati dan tiada lagi keraguan menyelubungi hati.

Secara logiknya, dalam hal berkaitan 1MDB yang lebih kompleks serta dipertikaikan ramai sejak sekian lama, sudah tentulah ia lebih mengundang banyak persoalan yang memerlukan jawapan.

Maka, agak menghairankan bagaimana Ketua-ketua UMNO bahagian  boleh dengan mudah berpuas hati sedangkan penjelasan hanya dilakukan secara sehala saja.

Kalau diumpamakan murid-murid sekolah, barangkali mereka ini sama ada pelajar yang tidak faham apa-apa atau terlalu cerdas fikirannya sehingga mudah saja menerima semua yang disampaikan. (SH)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.