`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, March 8, 2015

PENDEDAHAN BERANI MATI, BAGAIMANA TRANSAKSI DANA 1MDB BERLAKU??



Shahrol, jelaskan siapa Good Star, pembayaran 1MDB, mengapa terima arahan Jho Low

OLEH THE EDGE MALAYSIA

Published: 8 March 2015 9:06 AM



Beberapa tindakan pelaburan dan transaksi yang dilakukan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terus menjadi persoalan dan keraguan kepada rakyat yang sehingga kini masih tidak terjawab. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 ac, 2015.

Datuk Shahrol Halmi merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bermula 23 Mac 2009 dan orang utama menguruskan syarikat itu hingga pengundurannya pada Mac 2013. Beliau kini bersama Jabatan Perdana Menteri dan kekal sebagai ahli lembaga pengarah 1MDB.

Semasa menjadi CEO, 1MDB melakukan beberapa pelaburan dan transaksi yang kini berdepan tuduhan tidak menyenangkan. The Edge percaya Shahrol perlu diberikan hak untuk menjelaskan tuduhan seperti mana bukti didedahkan Sarawak Report yang turut di e-mel kepada The Edge dan dipercayai tulen.

Maka, kami di sini menunjukkan beberapa fakta dan berharap Shahrol dapat menjawab semua persoalan yang dibangkitkan:

1. Anda pernah diperkenalkan dengan Tarek Obaid dan Patrick Mahony daripada PetroSaudi oleh Jho Low menerusi e-mel bertarikh 18 September 2009. Menerusi e-mel itu, Jho Low berkata majlis pemeteraian perlu disempurnakan pada 28 September 2009. Ini bermakna anda diberikan 10 hari untuk menyempurnakan perjanjian berbilion ringgit.

Sebagai makluman, rakan kongsi anda PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd turut pada hari yang sama (18 September 2009) membentuk satu anak syarikat baru, 1MDB PetroSaudi Ltd. Ia syarikat yang 1MDB menyuntik AS$1 bilion untuk faedah 40%. Dalam erti kata lain, walaupun sebelum anda diperkenalkan dengan PetroSaudi oleh Jho Low, mereka sudah pun mengetahui 1MDB akan menjadi rakan kongsi mereka.

Jadi, seseorang membuat keputusan untuk 1MDB, bukan anda sebagai CEO atau lembaga pengarah?

2. Pada 21 September 2009, Mahony mengirim e-mel kepada Jho Low, Tarek dan anda (berikutan e-mel anda pada 20 September) dan dilampirkan kepada Casey Tang (pengarah eksekutif 1MDB) dan Robert Ho (ketua komunikasi korporat 1MDB). Asasnya, Mahony memaklumkan kepada anda yang mereka belum bersedia menyediakan senarai aset untuk disuntik melalui kerjasama itu. Kepentingan anda seperti disiarkan media mengenai kerjasama itu.

Adakah anda tidak berminat dengan apa yang dilaburkan 1MDB? Adakah anda tidak mengetahui tujuh hari sebelum hari pemeteraian pada 28 September, rakan kongsi anda tidak dapat menyediakan maklumat aset 1MDB yang akan dilaburkan?

3. Pada 22 September 2009, anda menghantar draf perjanjian kerjasama kepada Mahony dan dilampirkan kepada Tang, Tarek dan Kelvin Tan (pengarah pelaburan 1MDB). Mengapa anda menghantar draf yang diberikan kepada anda oleh Tiffany Heah bagi pihak Jho Low walaupun 1MDB sudah melantik Brian Chia of Wong & Partners sebagai peguam syarikat?

Kenapa anda menerima draf daripada Heah, yang ketika itu peguam UBG Bhd, entiti yang tiada kaitan dengan 1MDB melainkan Jho Low yang merupakan pemegang saham terbesarnya?

Adakah anda sedar Jho Low, Heah dan Mahony sudah membincangkan dan bersetuju terma perjanjian kerjasama sebelum Heah mengirimkan draf yang kemudian anda hantar kepada Mahony? Jho Low jelas bertindak bagi 1MDB dan PetroSaudi.

4. Pada 28 September 2009, anda melaksanakan perjanjian perkongsian bagi pihak 1MDB. 1MDB ditawarkan dua daripada lima kerusi lembaga pengarah tanpa wakil daripada pengurusan. Adakah ini munasabah, menjadikan 1MDB bahagian yang hanya menyalurkan tunai mencecah AS$1 bilion? Malah, mengapakah tidak dinyatakan dalam kenyataan media yang dikeluarkan 1MDB, PetroSaudi tidak menyalurkan dana dalam kerjasama itu?

5. Item kelima perjanjian kerjasama di muka surat 7 menyebutkan 1MDB akan menggunakan pakar penilai bebas bagi mentaksirkan aset PetroSaudi yang disuntik menerusi kerjasama itu. Laporan ini mesti disiapkan sebelum 30 September 2009. 1MDB boleh menamatkan perjanjian kerjasama jika nilainya rendah.

Adakah 1MDB melantik penilai bebas?

Edward Mose dari New York yang pernah melibatkan diri dengan PetroSaudi menghantar laporan penilaian aset PetroSaudi pada 29 September 2009, sehari selepas perjanjian kerjasama ditandatangani. Dia menaksir kira-kira AS$3.625 bilion. Daripada jumlah itu, AS$3.518 bilion untuk projek Turkmenistan Serdar. .

Malah, aset ini bukan milik PetroSaudi tetapi Buried Hill Exploration. PetroSaudi hanya dalam perbincangan hak pertanian yang terbukti tidak berjaya.

Dalam kata lain, PetroSaudi hanya memiliki aset AS$100 juta untuk 60% pemilikan kerjasama sementara 1MDB membayar tunai AS$1 bilion (RM3.48 bilion) untuk faedah 40%.

Adakah anda atau kakitangan 1MDB mengesahkan penilaian AS$1.5 melalui laporan bebas atau anda memilih untuk menerima nilai yang dianggarkan Morse yang pernah berurusan dengan PetroSaudi? Adakah anda tidak curiga Morse boleh melakukan penilaian aset PetroSaudi dalam tempoh seminggu?

6. Bahagian B perjanjian kerjasama menyebutkan PetroSaudi Holdings menyediakan syarikat PetroSaudi Ltd dengan pendahuluan AS$700 juta. Pada muka surat 4 perjanjian, pinjaman itu bertarikh 25 September 2009.

Syarikat kerjasama itu diperbadankan pada 18 September 2009. Pinjaman dibuat PetroSaudi Holdings pada 28 September 2009. Perjanjian kerjasama berkuatkuasa pada 28 September 2009. Pemiutang mahu pembayaran semula pada 29 September 2009.

1MDB mengirim tunai AS$1 bilion pada 30 September 2009 di mana AS$700 juta diperuntukkan untuk pembayaran semula “pinjaman” PetroSaudi Holdings. Adakah ini tidak “memudahkan”?

Adakah anda mengesahkan pinjaman AS$700 juta? Adakah anda melihat dokumen pinjaman? Adakah pinjaman itu berbentuk tunai?

Adakah tunai AS$700 juta itu berada dalam syarikat kerjasama itu atau ia sekadar “pinjaman bayangan”? Adakah penasihat undang-undang anda Brian Chia of Wong & Partners memberi pandangan mengenai “pinjaman” itu?

Kami percaya tiada sebab PetroSaudi Holdings yang memiliki tunai AS$700 juta meminjamkan syarikat kerjasama itu pada 25 September 2009. PetroSaudi Holdings hanya syarikat kecil. Asetnya yang dinilai Morse hanya AS$100 juta – blok minyak dan gas Argentinian Patagonia.

Kami melihat banyak e-mel pada awal Disember 2009 di antara Mahony dan – daripada pihak 1MDB – Kelvin Tan, Nik Faisal Ariff Kamil, Onn Ming Thein dan Radhi Mohamad berhubung pemindahan tunai dari syarikat kerjasama (suntikan tunai oleh 1MDB) memberikan dana operasi dan perbelanjaan PetroSaudi Holdings dengan bajet tahunan AS$97 juta.

Jelas, rakan kerjasama anda, PetroSaudi Holdings tidak mempunyai wang untuk menampung kos operasi dan perbelanjaan maka memerlukan dana 1MDB.

Mengapa 1MDB perlu menanggung kos operasi rakan kerjasama? Adakah anda sedar Nik Faisal sering berhubung dengan Jho Low dan apabila Mahony tidak dapat menyelesaikan isu 1MDB, dia akan merujuk Jho Low yang kemudian mendakwa Nik Faisal akan menyelesaikannya?

7. Pada 29 September 2009, Jonathan Yong of White & Case (peguam PetroSaudi yang berpusat di London) mengirim e-mel berhubung kiriman AS$1 bilion daripada 1MDB kepada peguam anda Brian Chia of Wong & Partners yang kemudian ditujukan kepada beberapa orang termasuk anda dan Casey Tang.

E-mel ini berkisar bagaimana AS$1 bilion akan dibayar.

Ia menyatakan AS$300 juta dibayar kepada Bank Chase Manhattan, New York untuk kredit akhir kepada nombor akaun 7619400 di JP Morgan (Suisse) SA. Ia bukan akaun baru atas nama 1MDB PetroSaudi Ltd (Syarikat kerjasama). Tandatangan bersama ialah Tarek Obaid atau Patrick Mahony dan anda atau Keng Chee Tang.

Baki AS$700 juta dibayar kepada JP Morgan Chase Bank, New York untuk kredit akhir ke nombor akaun 11116073 di RBS Coutts Bank Ltd, Zurich, untuk akaun dengan nama PetroSaudi International Ltd.

Dalam siri pertukaran e-mel, Brian Chia of Wong & Partners mempersoalkan mengapa penerima AS$700 juta adalah PetroSaudi International Ltd sedangkan pinjaman pada 25 September dari PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd.

Mahony menjelaskan ia merupakan syarikat yang sama. Chia bertindak untuk 1MDB kemudian meminta White & Case mengesahkan tetapi diberitahu Mahony ia tidak perlu dan sedang mengesahkan bagi pihak PetroSaudi Holdings (e-mel ini dilampirkan kepada Jho Low and Tiffany Heah).

Di antara 1 dan 2 Oktober 2009, sebelum penerimaan AS$700 juta, Eliane Humair (penyiasatan) dan Laurent Schmid (pengurusan risiko) daripada RBS Coutts Bank di Zurich meminta Prakash Gopi dari operasi pasaran global Deutsche Bank Malaysia, nama penuh pemilik akaun 11116073.

Deutsche Bank Malaysia merupakan bank kiriman wang 1MDB.

Pada 2 Oktober 2009, Jacqueline Ho dari Deutsche Bank Malaysia menulis kepada Casey Tang dan anda, meminta nama dan alamat pemilik akaun 11116073. Tang mengirimkan e-mel Ho itu kepada Jho Low. Mengapakah perlu Tang mengirim e-mel itu kepada Jho Low?

Pada hari sama, anda membalas kepada Deutsche Bank: “Jac, tolong guna alamat ini – GOOD STAR LIMITED. P.O. Box 1239, Offshore Incorporation Centre, Victoria, Mahe, Republic of Seychelles.”

Jawapan anda kepada Ho dihantar kepada Jho Low yang kemudian dihantar lagi kepada Mahony dengan pesanan, “Akan masuk tak lama lagi. Tolong kemas kini Tarek”.

Shahrol, siapakah Seychelles-Good Star? Kenapakah anda sahkan kiriman AS$700 juta kepada Good Star?

Adakah Jho Low mengarahkan anda memberitahu Deutsche Bank yang Good Star merupakan pemilik akaun di RBS Coutts?

Berdasarkan dokumen yang dilihat, Good Star dimiliki Jho Low dan bukan sebahagian daripada Kumpulan PertroSaudi sebabnya:

a. Ketua pegawai pelaburan Good Star ialah Seet Li Lin yang kini merupakan Naib Presiden Jynwel Capital (syarikat Jho Low di Hong Kong). Dia bersama Jho Low dalam Kumpulan Wynton dan Unity Capital (Singapore) dan adakah Jho Low membantu dalam perjanjian 1MDB-PetroSaudi. Dia juga merupakan rakan sekelas Jho Low di Wharton, selain rakan ketika berparti. Dia juga sebelum ini bersama Lembaga Kewangan Singapura.

b. Daripada AS$700 juta yang dikirim kepada Good Star, AS$610 juta diletakkan di bawah pengurus pelaburan Panama yang juga pengarahnya ialah Seet Li Lin sebagai tukaran pegangan. Difahamkan PetroSaudi International Ltd (Seychelles) bukan sebahagian PetroSaudi Group tetapi mewakili Good Star. Dua syarikat yang berkongsi alamat di Seychelles.

c. Pada 30 September 2009, Good Star mematuhi perjanjian membayar Tarek AS$85 juta sebagai "upah broker" kerana mengumpul dana dari Timur Tengah ke Malaysia dan bayaran dibuat dalam masa lima hari.

8. Pada 7 Oktober 2009, selepas beberapa hari perjanjian kerjasama dan bayaran AS$1 bilion, anda masih meminta profil syarikat PetroSaudi daripada Mahony menjelang mesyuarat lembaga pengarah 1MDB. Anda berkata kepadanya, "Ia sangat membantu kami dalam mesyuarat lembaga pengarah Sabtu ini."

Sebagai makluman, e-mel anda kepada Mahony juga dihantar kepada Jho Low yang memberitahu Mahony, "Tak perlu menghantarnya. Jangan risau, akan uruskan mereka."

Bagaimana anda membuat keputusan bagi amaun AS$1 bilion tanpa memiliki profil syarikat rakan kongsi? Adakah mesyuarat lembaga pengarah 1MDB sebelum itu meluluskan pelaburan AS$1 bilion? Atau adakah perjanjian kerjasama ditandatangani dan dipatuhi oleh anda dan kemudian dibentangkan kepada ahli lembaga pengarah untuk disahkan?

Kami difahamkan peletakan jawatan pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh pada 19 Oktober 2009 adalah tiga minggu selepas anda menandatangani perjanjian kerjasama dan mesyuarat lembaga pengarah. Bakke diganti Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin yang kekal sebagai pengerusi sehingga hari ini.

Pengarah pada ketika kerjasama itu dimeterai dan masih ahli lembaga pengarah ialah Tan Sri Ismee Ismail yang merupakan CEO Tabung Haji sekarang.

Seperti anda, mereka berdua juga mempunyai banyak isu yang perlu diperjelaskan.

9. Pada September 2010, tambahan AS$160 juta dibayar ke akaun Good Star melalui RBS (nombor akaun sama 11116073). Ia sebahagian daripada AS$500 juta (lebih AS$1 bilion ditukarkan kepada ekuiti dan pinjaman) daripada 1MDB atas langganan lebih banyak nota Murabahah yang dikeluarkan PetroSaudi.

Lebih AS$260 juta (RM800 juta) daripada AS$500 juta daripada 1MDB dipindahkan ke Javace Sdn Bhd melalui akaun bank Tarek dan PetroSaudi Holdings.

Javace menggunakan RM800 juta ditambah RM700 juta pinjaman dari AmInvestment Bank Bhd untuk menswastakan UBG Bhd pada 2010, sebuah syarikat Jho Low yang mempunyai pegangan bersama keluarga bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

Menariknya, penswastaan UBG dibuat oleh PetroSaudi International (Seychelles) – mewakili Good Star yang menerima AS$700 juta daripada 1MDB.

10. Jelas Good Star menerima wang 1MDB bukan sahaja AS$1 bilion wang pelaburan kerjasama kali pertama bersama PetroSaudi tetapi wang yang dikirim 1MDB setiap kali bayaran langganan nota Murabahah dibuat pada 2010.

Mengapa 1MDB terus mengirim wang kepada PetroSaudi malah selepas kerjasama dibatalkan dengan jumlah besar dialihkan kepada Good Star, sebuah syarikat yang dikawal Jho Low dan Seet yang mana pada 30 September 2009 selepas anda meluluskan kiriman AS$1 bilion, satu kiriman di Facebook berbunyi: “Saya berasa bumi bergerak di bawah kaki saya”?

Shahrol,

Bolehkah anda memberikan jawapan kepada rakyat Malaysia?

PS: The Edge gembira Kabinet meminta Ketua Audit Negara (AG) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menyiasat akaun dan operasi 1MDB. Kami bersedia membantu AG dan PAC dalam menjalankan siasatan termasuk memberikan maklumat yang diperoleh daripada siasatan sendiri berhubung 1MDB sejak penubuhannya pada 2009.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.