`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, March 11, 2015

PUNCA RUMAH PUTIH BUAT SILAP GUGURKAN PETISYEN " BEBASKAN ANWAR ' TERSEBAR

Rumah Putih tersilap buang petisyen ‘Bebaskan Anwar’, kata kedutaan



Selepas penilaian susulan, Rumah Putih mendapati petisyen ‘Bebaskan Anwar’ yang ditarik keluar semalam tidak mengandungi tandatangan palsu dan dibenarkan dipaparkan semula. – Gambar whitehouse.gov, 11 Mac, 2015.

Rumah Putih hari ini mengaku tersilap menarik keluar petisyen yang disiarkan di laman webnya menggesa pentadbiran Barack Obama membebaskan pemimpin pembangkang yang dipenjarakan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia berkata semakan penipuan standard Rumah Putih pada 9 Mac mendapati banyak tandatangan yang janggal pada petisyen berhubung pemenjaraan Anwar dan pelbagai petisyen berkaitan isu sama.

"Terdapat banyak petisyen berkaitan isu ini, dan selepas penilaian susulan, Rumah Putih dapati petisyen yang ditarik keluar itu bukan yang mengandungi tandatangan palsu," menurut kenyataan dikeluarkan kedutaan itu di laman Facebooknya.

"Bertanggungjawab atas kesilapan itu, Rumah Putih mengaktifkan semula petisyen yang bertajuk 'Make the Release of Malaysian Opposition Leader Anwar Ibrahim from Prison a Top Priority for U.S. Policy Toward Malaysia' (Jadikan Pembebasan Ketua Pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim Keutamaan Tertinggi bagi Dasar AS Terhadap Malaysia) itu.

"Ia juga memanjangkan tarikh akhirnya mengambil kira masa yang hilang semasa petisyen itu ditarik keluar. Tiada tandatangan yang dibuang," katanya.

Ia berkata Rumah Putih kemudiannya mendapati, tandatangan palsu itu wujud pada petisyen “Respecting the Sovereign Nation of Malaysia” (Menghormati Kedaulatan Negara Malaysia), dan ia dihentikan buat sementara waktu daripada laman web itu.

Petisyen yang dikatakan itu merupakan jawapan daripada rakyat Malaysia yang "marah" dengan kenyataan Rumah Putih yang menyatakan kekecewaannya terhadap sabitan kes liwat Anwar.

Petisyen itu mendesak Amerika Syarikat "berhenti campur tangan dalam badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang Malaysia".

"Pada 9 Mac, semakan penipuan standard Rumah Putih menunjukkan sejumlah besar tandatangan yang janggal pada petisyen bertajuk 'Respecting the Sovereign Nation of Malaysia'.

"Selepas diteliti semula, Rumah Putih menghentikan petisyen itu sambil ia membuang beberapa tandatangan yang melanggar terma penyertaan 'We the People' (Kami Rakyat) itu," kata kedutaan itu.

Ia berkata, sebaik sahaja tandatangan yang tidak sah dibuang, Rumah Putih akan mengembalikan semula petisyen itu dan melanjutkan tarikh akhirnya mengambil kira masa yang hilang semasa petisyen itu dimatikan.

Petisyen itu sudah pun dikembalikan ke laman web itu pagi ini, tetapi hanya dengan 12,070 tandatangan.

"Rumah Putih dari semasa ke semasa menyemak beberapa faktor bagi mengenal pasti sebarang tanda kemungkinan wujud penipuan. Tetapi bagi memastikan ia tidak membuang tandatangan yang sah, ia harus melakukan siasatan yang menyeluruh, dan proses ini akan mengambil masa," kata kedutaan itu.

"Rumah Putih akan terus menyemak tandatangan pada semua petisyen bagi mengesan sebarang aktiviti penipuan."

Petisyen “Bebaskan Anwar” itu setakat pagi ini menerima 108,291 tandatangan.

Petisyen itu, yang diserahkan kepada Rumah Putih pada 10 Februari, perlu mencapai 100,000 paling lewat pada esok hari, untuk berjaya dan mendapat sambutan daripada pentadbiran Obama.

Petisyen itu dimulakan bekas duta AS ke Malaysia, John R Malott, yang mengemukakannya kepada laman web itu sebaik sahaja Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari mendapati Anwar bersalah atas tuduhan liwat dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atasnya. – 11 Mac, 2015 ~tmi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.