`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, April 8, 2015

Kenyataan Tun M diselar

Tun Dr Mahathir diminta menunjukkan sokongannya kepada Najib, kerana beliau pernah mentadbir negara tanpa ‘serangan tidak wajar daripada pendahulunya’. - Foto arkib TRP/ Mokhsin Zamani

KUALA LUMPUR, 7 April:

Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) hari ini menyelar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Agungnya, Datuk M. Davendran berkata, Tun Dr Mahathir perlu berhenti mengkritik Najib menerusi blognya, chedet.cc berhubung isu membabitkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Tun Dr Mahathir sepatutnya menghentikan kritikan terhadap Perdana Menteri dan perlu melihat kelemahannya sendiri semasa pentadbirannya,” katanya.

Katanya, Tun Dr Mahathir perlu menunjukkan sokongannya kepada Najib, kerana beliau pernah mentadbir negara tanpa ‘serangan tidak wajar daripada pendahulunya’.

“Telah banyak yang Mahathir lakukan untuk Malaysia, adalah lebih baik beliau berfikir secara baik, berbuat baik dan menyatakan perkara yang baik dan bertaubat di atas salah lakunya semasa pentadbirannya.

“Perlu diingat, sebagai negarawan, apa sahaja yang beliau katakan akan memberi pengaruh dan apa sahaja perkara negatif, hanya akan memberi kesan buruk kepada negara,” katanya.

Khamis lalu, Tun Dr Mahathir melalui blognya berkata, rakyat Malaysia sudah hilang kepercayaan terhadap Najib serta Barisan Nasional (BN) dan kerajaan akan tewas pada Pilihan Raya Umum akan datang, sekiranya Najib masih menguasai pentadbiran negara.

Tun Dr Mahathir turut melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Najib dan menegaskan, tidak satu pun tuduhan itu dijawab Najib.

Ini termasuklah pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang didakwa dilakukan Sirul Azhar Umar yang merupakan pengawal peribadi Najib.

Tun Dr Mahathir turut mengulas masalah membabitkan 1MDB dan mempersoalkan dari mana sumber yang membolehkan anak tiri Najib, Riza Aziz membeli hartanah mewah di New York daripada ahli perniagaan, Low Taek Jho serta menyifatkan pembelian jet peribadi oleh Najib adalah satu ‘pembaziran’.

Hari berikutnya, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dalam satu temubual dengan Astro Awani berkata, pihaknya akan mengambil langkah perlu bagi menangani kritikan daripada Tun Dr Mahathir.

Mohd Puad berkata, JASA tidak akan mempertahankannya, sebaliknya akan terus ‘menyerang’ melalui media sosial berhubung tuduhan yang dibuat Tun Dr Mahathir.

Sementara itu, menurut laporan The Star Online, seorang pemimpin BN Sabah turut tampil membidas kritikan Tun Dr Mahathir.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, Tun Dr Mahathir sememangnya dihormati atas pencapaiannya membangunkan negara, namun, bekas Perdana Menteri itu, katanya, perlu mencermin diri, sebelum meminta Najib berundur.

“Mungkin beliau telah lupa, ketika beliau menjadi Perdana Menteri, rakyat memintanya berundur banyak kali, tetapi beliau enggan,” kata Maximus.

Menurutnya, PBS merupakan antara pihak yang pernah meminta Tun Dr Mahathir berundur 20 tahun lalu, kerana parti itu menyalahkan beliau yang didakwa membenarkan pendatang asing mendapat kewarganegaraan di Sabah.

“Beliau bagaimanapun tidak endah gesaan kami. Hari ini, beliau mengakui projek IC memang wujud dan tidak menjadi kesalahan beri kewarganegaraan kepada pendatang, hanya kerana mereka menetap di Sabah sejak sekian lama dan mempunyai keluarga di sini.

“Dengan kebenarannya, projek IC wujud untuk memberi kerakyatan kepada golongan ini dengan melanggar peraturan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.