`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, April 15, 2015

Projek 'elektrik percuma' untuk rakyat Sarawak — bahagian 1

LEBIH 50 tahun memerintah, kerajaan Barisan Nasional Sarawak gagal menyediakan salah satu kemudahan asas iaitu 'bekalan elektrik' kepada sebahagian besar penduduknya, terutama di kawasan pedalaman. 

Meskipun berulang kali didesak, suara rakyat pedalaman tidak dipedulikan oleh pemerintah. Buktinya, selepas 50 tahun, mereka masih tidak dapat menikmati bekalan elektrik yang sempurna seperti kita di semenanjung. Jika ada pun, mereka terpaksa menggunakan 'generator' yang menelan belanja bahan api terlalu mahal setiap bulan.

Sudahlah kebanyakan penduduk kawasan pedalaman terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, terpaksa pula membayar kos bahan api yang mahal setiap bulan. Tambah lagi, ramai yang tidak mampu membeli 'gen set' untuk keperluan elektrik mereka.

Kita tiada pilihan, keperluan asas rakyat Sarawak melangkaui sempadan politik. Justeru itu, KEADILAN telah mengambil inisiatif sejak lebih setahun yang lalu untuk menyelesaikan masaalah ini.

Kelmarin aku berpeluang melihat sendiri projek 'mini hidro' yang diusahakan‎ oleh KEADILAN dengan bantuan beberapa NGO dan gotong-royong orang kampung di Lawas, Sarawak bagi menyediakan 'elektrik percuma' kepada penduduk di kawasan pedalaman.

Bertolak pada jam 7:40 pagi dari bandar Miri, Sarawak‎ aku bersama Ahli Parlimen KEADILAN Bayan Baru, YB Sim Tze Zin dan dua orang lagi, menaiki pesawat kecil MasWing tiba di Lapangan Terbang Lawas selepas melalui 40 minit jangka masa penerbangan.

Dari pekan Lawas kami menaiki ‎pacuan 4 roda melalui 'jalan balak' selama lebih 8 jam (termasuk berhenti rehat dan sebagainya) untuk melawat 3 lokasi 'mini hydro' yang membekalkan elektrik percuma kepada penduduk setempat. 

Dari Pejabat Khidmat Masyarakat KEADILAN, yang dikelola oleh YB Baru Bian, di pekan Lawas, kami bertolak pada jam 10:10 pagi‎ membawa sebuah 'turbin mini' yang akan dipasang sebagai jentera janakuasa untuk mengubah tenaga graviti dan kinetik aliran air kepada kuasa elektrik percuma untuk kegunaan penduduk kampung.


Dalam perjalanan, kami sempat singgah di sebuah bengkel di mana turbin 'mini hidro' ini dihasilkan. Ia merupakan rekaan saudara John Ah Yong yang berasal dari Pulau Pinang. Tanpa ijazah atau diploma kejuruteraan, ternyata Ah Yong seorang yang berbakat di dalam mereka bentuk, seterusnya menghasilkan turbin janakuasa tersebut.

Kami meneruskan perjalanan, merentasi 'jalan balak'‎ yang berdebu di mana majoritinya cuma dilalui oleh kenderaan pacuan 4 roda dan lori balak yang sarat dengan muatan kayu balak, yang berulang-alik setiap hari.

Jalan berdebu ini ada undang-undang tersendiri, selain memerlukan kecekapan yang tinggi di dalam mengendalikan kende‎raan, perlu juga faham undang-undang di situ yang berbeza dengan peraturan JPJ di jalanraya biasa. 

Ada kala kami perlu memandu di bahagian kanan jalan, ada kala perlu memandu di sisi kiri jalan. Ada papan tanda 'arrow' sebagai panduan sama ada perlu memandu di kanan atau kiri di sepanjang perjalanan melalui 'jalan balak' ini. Jika gagal mematuhinya, ia boleh membahayakan kami.‎


Menurut pemandu yang membawa kami, 'jalan balak' yang kami lalui ini sudah banyak memakan korban nyawa manusia. Antaranya, pemandu lori balak yang sering terlibat dalam kemalangan, pemandu pacuan 4 roda yang terjatuh ke dalam gaung dan sebagainya.

Ramai juga pengguna 'jalan balak' ini yang terlibat dalam kemalangan maut gara-gara tidak faham dengan peraturan lalu lintas di sini. 

Kesilapan mengikut panduan 'arrow' boleh menyebabkan sama ada bertembung dengan kenderaan lain terutama dalam keadaan berdebu yang teruk, ataupun dilibas kayu balak yang dibawa oleh lori-lori ketika mengambil selekoh. 

Boleh dikatakan semua lori balak yang aku jumpa membawa lebih muatan. Kayu balak yang dibawa biasanya tertonjol keluar dari gerabak lori.
Inilah satu-satunya ‎jalan yang menghubungkan penduduk kampung dengan dunia luar. Mereka terpaksa berdepan dengan jalan yang sukar dilalui, ada kala menjadi jalan yang sangat teruk 'extreme' apabila hujan turun.

Masih terngiang-ngiang sepotong ayat yang diucapkan oleh salah seorang penduduk tempatan:

"Government encourage rural people to die" (Kerajaan menggalakkan orang pedalaman supaya mati).

Oh ya, kawasan pedalaman yang kami lawati ini, majoriti penduduknya adalah kaum Lun Bawang. Majoriti bangsa Lun Bawang yang aku jumpa, boleh bertutur dengan baik dalam bahasa Inggeris...

Bersambung...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.