`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, July 3, 2015

Pasaraya naik harga satu sen kena tindakan, bagaimana dengan kerajaan naik harga petrol sewenang-wenangnya?

suki2
JOHOR BAHRU, 3 JULAI: Bolehkah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan dikenakan terhadap kerajaan Barisan Nasional dan syarikat minyak yang menaikkan harga petrol sewenang-wenangnya sewaktu harga pasaran minyak dunia tidak berubah?
Persoalan itu dibangkitkan oleh Pengarah Dasar DAP Johor, Wong Shuqi, berikutan kenaikan harga RON95 dan RON97, masing-masing 10 sen dan 20 sen, tanpa sebarang notis pada tengah malam 30 Jun lalu.
Katanya, kenaikan itu dilaksanakan sewaktu tiada perubahan harga minyak global.
Sedangkan sebelum ini kerajaan telah memutuskan untuk memotong subsidi kerana mahu mengapung harga mengikut pasaran minyak global, tambah beliau.
“Kerajaan pusat telah menghebohkan bahawa ia tegas mengambil tindakan terhadap peniaga yang menaikkan harga sesuka hati. Contohnya, ada sebuah pasaraya yang menaikkan harga barangannya sebanyak 1 sen telah dikenakan denda.
“Jadi adakah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan akan dikenakan terhadap kenaikan harga petrol ini?” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Laporan Bernama pada 29 Jun lalu memetik Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek sebagai berkata 1,184,565 pemeriksaan telah dibuat sepanjang pelaksanaan Ops Catut sejak 15 Januari lalu, di mana 4,507 kes telah diambil tindakan dengan jumlah rampasan bernilai RM822,216 serta kompaun berjumlah RM591,936.
Beliau juga menyatakan peniaga yang melanggar akta anti catut itu boleh dikenakan denda RM100,000 terhadap individu atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya atau denda RM500,000 ke atas syarikat, jika sabit kesalahan.
Shuqi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senai berkata, kerajaan telah menjadikan peniaga yang menaikkan harga selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai sasaran dengan menggunakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.
Mengikut akta tersebut, peniaga tidak dibenarkan menaikkan margin keuntungan mereka sepanjang tempoh 2 Januari 2015 – 30 Jun 2016.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan mesti menjelaskan kepada rakyat mengapa ia “membenarkan” syarikat minyak di Malaysia menaikkan harga petrol.
“Kerajaan BN melaksanakan GST untuk menambah kutipan cukainya. Pada masa yang sama ia menguatkuasakan akta anti-pencatutan harga tersebut yang melarang peniaga daripada meningkatkan margin keuntungan mereka selama 18 bulan sejak Januari tahun ini, tanpa mengira keadaan dan kadar inflasi.
“Dengan ini, sektor perniagaan tidak ada pilihan lain kecuali menanggung kos inflasi, sedangkan pada masa yang sama kerajaan BN menyalahkan ‘peniaga tidak jujur’ yang menaikkan harga selepas pelaksanaan GST,” ujar beliau.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.