`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, August 20, 2015

Zam dedah sebab Tun M mahu Jambatan Bengkok diteruskan

Ia sebagai tugu untuk mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kita mempunyai jiran yang serong dan tidak boleh dipercayai.
zam-+-tun+m
PETALING JAYA: Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mendedahkan punca mengapa Tun Dr Mahathir Mohamad beriya-iya mahukan pembinaan Jambatan Bengkok diteruskan.
Zainuddin atau Zam berkata, bekas Perdana Menteri sangat sentimental mahukan Jambatan Bengkok didirikan sebagai tugu untuk mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kita mempunyai jiran yang serong dan tidak boleh dipercayai.
Menerusi blognya, Zam menceritakan sejarah bagaimana bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew (LKY) menghasut Perdana Menteri Malaysia Ketiga, Tun Hussein Onn supaya menangkap kumpulan berhaluan kiri yang telah dilantik sebagai penasihat kepada Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak.
Katanya, kumpulan intelektual radikal yang pernah ditahan di Singapura kerana fahaman kiri itu termasuklah wartawan A. Samad Ismail, Abdullah Majid, Agoes Salim, Dr. Ungku Omar dan James Puthucheary.
Katanya, kumpulan itu telah membantu Tun Abdul Razak membentuk dan menggubal Dasar Ekonomi Baru (DEB) selepas peristiwa 13 Mei 1969.
“LKY amat bimbang apabila bekas-bekas tahanan politiknya yang berfahaman Marxist yang pernah ditungganginya untuk kepentingan politiknya telah berada di keliling Tun Abdul Razak malah Tun telah melantik James sebagai anggota Majlis Perpaduan Nasional dan dan juga Majlis Perundingan Negara.
“LKY terus merasa tergugat sehingga selepas Tun Razak meninggal dunia yang membuatkannya menghasut Tun Hussein Onn yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri supaya menangkap Samad Ismail dan rakan-rakannya.
“LKY memberitahu Tun Hussein selepas kematian Tun Abdul Razak bahawa ada penyusupan komunis dalam media Malaysia termasuk aktiviti Samad Ismail anggota Parti Komiunis Malaya (PKM) dan juga rakan-rakannya dari Singapura sejak tahun 50an.
“Perdana Menteri yang cerdik Tun Dr Mahathir dapat menciumi ketakutan LKY bila mengetahui Samad membawa rakan-rakannya yang merupakan musuh utamanya (termasuk James Puthucheary) mendekati Tun Razak dan membantu beliau bagi penggubalan Dasar Ekonomi Baru selepas peristiwa 13 Mei.
Zam berkata, sebab itu sebaik saja berkuasa, Dr Mahathir membebaskan Samad Said dan rakan-rakannya yang dituduh sebagai komunis dan kerana perasaan terhutang budinya juga kepada Tun Abdul Razak yang mencalonkannya sebagai Perdana Menteri.
“Maka beliau (Dr Mahathir) sangat sentimental mahukan Jambatan Bengkok didirikan sebagai tugu untuk mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kita mempunyai jiran yang serong dan tidak boleh dipercayai,” katanya.
Zam turut meluahkan rasa sedih kerana jasa James Puthucheary tidak dikenang dan tidak dihargai.
“Saya sendiri memikirkan bahawa seperti Seniman Agung P. Ramlee dan juga pejuang-pejuang tulin lainnya, James Puthucheary tidak meminta jasanya diingati tetapi jika Anugerah Posthumous Tan Sri boleh diberikan kepada P.Ramlee maka apakah salahnya anugerah yang sama diberikan kepada James Puthuceary walaupun beliau seorang Marxist atau Komunis.
“James bukan seorang Melayu dan beliau juga tidak percaya kepada agama tetapi sebagai seorang nasionalis pemikirannya melampaui agama dan bangsa yang terbukti dari pemikirannya dan sajak – sajaknya,” katanya.
Dr Mahathir mencetuskan idea pembinaan Jambatan Bengkok pada 1996 bagi menggantikan Tambak Johor kerana tidak lagi mampu menampung jumlah kenderaan yang terlalu banyak berulang-alik setiap hari antara kedua-dua negara.
Bagaimanapun, penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi membatalkan cadangan itu pada 2006 dan menghentikan semua rundingan dengan kerajaan Singapura.
Abdullah memberi alasan pembatalan itu selepas mengambil kira suara dan sentimen rakyat Malaysia keseluruhannya terutama sekali berkenaan bekalan pasir dan ruang udara.
Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambilalih pentadbiran negara pada 3 April 2009 juga tidak meneruskan pembinaan Jambatan Bengkok.
Menerusi siri-siri kritikan terhadap Najib, Dr Mahathir turut mempertikaikan keputusan Perdana Menteri yang tidak meneruskan pembinaan jambatan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.