`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, March 24, 2017

Tinjauan: 85.3% penerima BR1M habiskannya dalam tempoh sebulan

Dalam pemberian BR1M yang lalu, ada penerima berjimat membelanjakannya sehingga 3 bulan dan ada yang menabung.
brimKUALA LUMPUR: Satu tinjauan seluruh negara oleh sebuah syarikat penyelidikan baru-baru ini mendapati majoriti warga Malaysia menghargai usaha kerajaan menyediakan subsidi menerusi Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) 2017 dan tidak menganggap ia satu bentuk rasuah seperti yang didakwa pihak tertentu.
Tinjauan itu yang dijalankan oleh Kajidata Research Sdn Bhd terhadap 1,031 penerima dan bukan penerima BR1M di bawah penyeliaan Profesor Datuk Syed Arabi Idid mendapati 68.7% responden menerima baik BR1M dengan 63.9% menolak pandangan ia adalah satu bentuk rasuah.
Arabi yang berkongsi penemuan itu bersama Bernama berkata, tidak mengejutkan 71.1% responden berpandangan BR1M, yang pertama kali diperkenalkan pada 2012, harus diteruskan pada masa depan.
“Memandangkan kos sara hidup terus meningkat, 65.1% responden mengaku BR1M membantu melegakan bebanan kewangan mereka dengan hanya 25.6% berkata sebaliknya,” kata bekas rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan penasihat Kajidata itu.
“Lebih separuh responden gembira bantuan BR1M berjumlah sehingga RM1,200 itu sampai kepada kumpulan sasaran.
“Bagaimanapun, 33.8% beranggapan BR1M gagal memenuhi matlamatnya.
“Apa yang menarik, 80% penerima menggunakan wang BR1M bagi membeli barang keperluan asas dengan 85.3% daripada mereka menghabiskan subsidi itu dalam tempoh sebulan,” kata Arabi
Kajian itu, yang dijalankan dari 20-27 Februari lalu mendapati ada antara mereka menggunakan wang BR1M untuk membayar bil bulanan dan membiayai persekolahan anak mereka.
Kajian itu juga mendapati pemberian BR1M sebelum ini, ada yang hidup berjimat membelanjakan wang itu dalam tempoh lebih lama iaitu sehingga 3 bulan dan ada pula yang menabung.
Tinjauan Kajidata juga menunjukkan BR1M memaksa mereka yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan untuk mendaftar dengan pihak berwajib, jadi kewujudan pangkalan data menyeluruh sangat bermakna kepada golongan yang memerlukan ini.
Arabi dan pasukannya juga mendapati maklumat daripada pangkalan data itu boleh digunakan untuk menyediakan program bantuan mengikut keperluan bagi kumpulan sasaran dan memantau kemajuan mereka.
“Sebagai contoh, mungkin terdapat mereka yang memerlukan lebih daripada apa yang diberikan oleh BR1M dan dengan itu boleh dirujuk kepada lembaga zakat yang menyediakan bantuan berbentuk lain.
“Memandangkan pendapatan mereka juga dipantau oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri, maka mudahlah untuk mengenal pasti mereka yang berjaya keluar daripada masalah kewangan dan tidak lagi memerlukan bantuan termasuk BR1M,” katanya.
Tinjauan Kajidata dijalankan melalui temu bual telefon merentasi 222 kawasan Parlimen termasuk di Sabah and Sarawak.
Responden dipilih daripada pelbagai kumpulan usia, tahap pendapatan, latar belakang pendidikan, kaum dan jantina. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.