`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, August 12, 2017

'KUFFRA JAHLA' = KAFIR JAHIL ! !



Oleh Faisal Tehrani

Sekonyong-konyong Sang Megalomaniak pun membahagi dunia kepada dua pecahan. Satu, mereka yang beragama. Kedua, mereka yang tidak beragama (yang ateis).

Sang Megalomaniak melihat mereka yang tidak beragama adalah ancaman. Sementara yang beragama itu kedamaian.

Salah. Senarai panjang kaum ateis menunjukkan sebahagian besar merekalah yang paling ke hadapan membela keadilan, dan menyanggah kezaliman terhadap manusia tanpa memilih bulu.

Sebagai contoh, Nadine Gordimer (penerima Hadiah Nobel Sastera 1991) adalah juara penentang dasar apartheid di Afrika Selatan; Harold Pinter (penerima Hadiah Nobel Sastera 2005) adalah juara penentang Zionisme dan dalam ucapan Nobelnya membelasah Amerika Syarikat sebagai kuasa penjajah dunia.

Ahli falsafah Britain yang merupakan “living legend”, Profesor A. C. Grayling, pengarang “Against All Gods: Six Polemics on Religion” adalah pembela kaum minoriti termasuk minoriti agama.

Presiden Uruguay yang ke-40, José Mujica, diketahui semua kita sebagai sangat zuhud dan tidak rasuah apatah lagi menyeleweng wang negara. Saintis Rusia Andrei Sakharov bukan sahaja seorang ahli fizik tetapi juga penggiat hak asasi manusia yang unggul di Eropah.

Orang ‘agama’

Betul. Senarai panjang mereka yang beragama menunjukkan agamawanlah yang paling ke hadapan menelanjangkan keadilan, dan memahkotai kekejaman terhadap manusia lainnya tanpa sedikit pun rasa teragak-agak.

Osama bin Laden, pengasas Al Qaeda, tidak perlu diperkenalkan lagi; Abu Bakar al-Baghdadi adalah pemerintah tertinggi IS, Abu Mus’ab al-Zarqawi adalah Badwi Jordan pengasas Ansar al-Islam yang keji; Ashin Wirathu, sami Buddha Burma yang mengatakan “kita boleh penuhi raga dengan kasih sayang dan cinta tetapi kita tidak boleh tidur di sebelah anjing iaitu orang Islam” satu lagi misalan; juga Yogi Adityanath pemimpin terkini Uttar Pradesh yang merupakan sekutu kuat Narendra Modi; atau ambil Rabbi Zvi Israel Tau, pendita Yahudi pro-Zionis yang menjadi tenaga kepada lawannya golongan sekularis di Israel.

Sang Megalomaniak harus melihat mereka yang tidak beragama sebagai pejuang kemanusiaan, humanis dan mereka yang damai. Begitulah dua tiga dekad ini, kaum ateis menjadi humanis dan banyak memberi sumbangan. Sementara yang terlebih beragama itu adalah pengancam kebebasan dan hak asasi manusia lainnya.

Wacana telah berubah wahai Sang Megalomaniak. Jangan terburu-buru menghukum atau memburu.

Apa kata Islam

Islam, wahai Sang Megalomaniak menjamin: a. Kebebasan memilih keyakinan; b. Kebebasan memiliki keyakinan; c. Kebebasan mengungkapkan keyakinan; d. Kebebasan menyampaikan, menyebarluaskan dan membela keyakinan.

Islam, mengajarkan tiada paksaan dalam beragama (Surah al-Baqarah 2:256). Islam, mengajar jika Allah berkehendak, sudah tentu semua umat manusia diberikan iman (Surah Yunus 10: 99).

Islam, mengajarkan kewajipan Rasul itu hanyalah menyampaikan dan tidak lebih daripada itu (al Maidah 5:99); dan Islam, mengajarkan agamawan tidak berkuasa ke atas manusia lainnya (al-Ghasyiyah 88:21-22).

Jadi, Islam manakah yang Sang Megalomaniak pegangi jika Islam sebenar tulen itu melindungi kemerdekaaan beragama, dan yang tidak beragama?

Jawapannya adalah Wahhabisme, Salafisme, Petrolisme atau pun apa sahaja nama yang mereka gunakan sudah meresapi Islam. Mereka adalah ancaman. Kerana mereka terlebih beragama, megalomaniak, dan mengkempenkan takfiri.

Mereka sudah jadi seperti pendokong sesat Al-Masih yang disebut Allah dalam firmannya, dalam Surah al-Taubah ayat 31: “Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah…”.

Mereka, kaum Wahhabi ini berbahaya kerana ketaksuban mereka kepada Muhammad Abdul Wahab dan segala rahib warisan kedua-duanya ini.

Ketahuilah kerana penuhanan terhadap Si Wahab ini mengakibatkan mereka memandang orang yang selain daripada diri mereka adalah tidak lengkap, tidak benar, dan boleh diburu, dimusnahkan dan dianiayai.

Perangai Sang Megalomaniak ini adalah perangai dajal kebadwian yang bukan merupakan tradisi ulama Melayu bermazhabkan Ahlus Sunnah Wal Jamaah seperti dipaparkan oleh Haji Muhammad Said Umar (1854-1932) iaitu pengarang kitab tafsir lengkap dari Malaysia, “Tafsir Nurul Ihsan”.

Kitab Islam alam Melayu

Kitab beliau itu bukan ditulis dari vakum tetapi disandarkan kepada Tafsīr al-Jalālayn, Tafsīr al-Bayḍāwī, dan Tafsīr al-Jamal.

Al-Marhum merupakan kadi Kulim, Kedah, dan dalam tafsirnya yang lengkap ditulis pada tahun 1927 itu, menegaskan kebebasan berkeyakinan seperti terjamin pada ayat 256 Surah al-Baqarah; “Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat. Barang siapa ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang (teguh) kepada buhul tali yang sangat kuat yang tidak akan putus. Allah Maha mendengar lagi Maha mengetahui.”

Haji Muhammad Said Umar menyatakan, gejala penolakan agama Islam (dalam konteks ini ateisme) tidak harus dilatahi dengan keras. Di dalam tafsirnya, beliau menukilkan: “Tiada kerasi pada agama atas masuknya, Qad tabayyana rushd minal ghayyi, sesungguhnya telah tiada iman Islam daripada kafir turun ini ayat pada Abu Husain Ansar ada baginya dua anak laki-laki jadi nasari menghendaki ia Islam keduanya dengan keras dan menegah keduanya hingga sampai pada Nabi shallahualaihiwassalam maka firmannya, La ikraha fi din, maka tinggal ia akan keduanya, fa man yakfur bi taghut, maka barangsiapa yang kafir dengan taghut iaitu syaitan atau asnam berhala, wa yu’min billah, dan beriman ia dengan Allah, fa qadistamsaka bil urwatil wuthqa lan fi samalaha, maka sungguh telah bergantung ia dengan tali yang kukuh tiada putus baginya, wallahu samiun alim, dan bermula Allah Taala itu Tuhan yang amat mendengar bagi perkataan lagi perbuatan.”

Beliau pergi sejauh menegaskan yang hukuman untuk mereka (yang menolak ketauhidan) adalah milik Allah semata-mata di akhirat kelak, dan tidak boleh dijatuhi apa-apa hukum di dunia ini.

Dalam menghuraikan ayat 21-22, Surah al-Ghasyiyah: “Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya engkau (Muhammad) hanyalah pemberi peringatan. Engkau bukanlah orang yang berkuasa atas mereka”, Kadi Muhammad Said Umar menegaskan, “Maka peringatlah olehmu ya Muhammad akan mereka itu segala nikmat Allah dan dalil tauhidnya. Hanya engkau itu orang yang mengingat mengajar sahaja. Tiada engkau atas mereka itu dengan mengerasi yang tiada menurut ajaran ini dahulu daripada suruh perang.”

Mengapakah kitab ulama Sunni asal Melayu seperti ini tidak kedengaran lagi sekarang?

Dahulu, Tafsir Nurul Ihsan dibacakan di sesetengah masjid di utara Semenanjung seperti Kedah dan Pulau Pinang. Akan tetapi malang sekali sejak fenomena terlebih beragama atau megalomaniak melandai segelintir orang Melayu, kitab-kitab wasatiyyah seperti ini tidak lagi dibaca dan diganti dengan tradisi jauh dari alam Melayu iaitu tradisi Wahhabi gurun.

Sikap Rasulullah

Yang kita perlukan bukan tindak-tanduk semberono ala Bin Laden, al-Zarqawi, al-Baghdadi tetapi sikap santun yang ditunjukkan oleh oneng Rasulullah terhadap golongan ateis.

Allah sendiri berfirman dalam Surah Yunus, ayat 99, (terjemahannya): “Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang di bumi seluruhnya. Tetapi apakah kamu (hendak) memaksa manusia agar mereka menjadi orang-orang yang beriman?”

Jadi, ketahuilah gejala ateisme bukan kawalan kamu, dan bukan di bawah kuasa kamu wahai Sang Megalomaniak.

Pernah sekali seorang ateis di zaman Imam Jaafar al Sadiq bernama Ibnu Abil Auja’ dikasari oleh Mufadhdhal. Ibnu Abil Auja’ menanyakan kepada Mufadhdhal, “Siapakah yang kamu ikuti? Jaafar bin Muhammad al-Baqir kah? Jika dia orangnya, dia tidak pernah bertindak kasar kepadaku, padahal apa yang aku katakan kepadanya jauh lebih kufur. Dia malah mendengar dengan baik semua kata-kataku tanpa melenting dan setelah itu barulah dia menjawabku sepantasnya.”

Sesungguhnya Rasulullah dengan kaum munafik pun baginda santuni. Itu bukanlah bermakna baginda menyukai mereka, tetapi baginda melakukannya kerana itulah kekuatan dan kematangan Islam.

Dialog adalah jalan yang ditetapkan oleh Islam. Tindak angkuh adalah sifat dan sikap keiblisan, yang sungguh nista dan jauh dari Islam wasatiyyah. Kembali kepada kesederhanaan seperti yang dipromosi ulama Sunni Melayu, Kadhi Muhammad Said Umar.

Ateisme, wahai Sang Megalomaniak, mungkin saja menakutkan; tetapi tidak mematikan. Wahhabisme dan ekstrimisme agama, wahai Sang Megalomaniak ternyata sah menakutkan, dan sudah terbukti mematikan.

* Faisal Tehrani atau Dr Mohd Faizal Musa ialah felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Editor’s note: The opinions in this article are the author’s, as published by our content partner, and do not represent the views of MSN or Microsoft.

My comments : I dont have any comments except to say that the title of this blogpost is mine, not Faisal Tehrani's.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.