`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, January 22, 2018

UMNO-PAS: ATAS LAIN, BAWAH LAIN

MULA-MULA sekali terima kasih kepada pemuda Melayu yang menemui saya di Ceramah Perdana “Mai Dengaq, Balik Habaq” Pakatan Harapan/PPBM di Bukit Jambul, Pendang, Jumaat lalu.
 
Orang Umno dan PAS pun ramai mai dengaq
Dengan suara gementar, dia meminta maaf kerana mengganggu saya. Katanya dia ada satu soalan besar yang mengacau fikirannya.
Ibunya guru taman didikan kanak-kanak (tadika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Dia berkata, ibunya diberitahu oleh orang Umno sekiranya Barisan Nasional (BN) kalah, Pakatan Harapan (PH) akan tutup Kemas dan kakitangan Kemas akan dibuang kerja.
Saya kata kepadanya, itu tidak betul. Sebaliknya PH akan memperkukuh dan memperluaskan sistem pendidikan – daripada prasekolah hingga ke peringkat paling tinggi – dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan bukan membuang orang.
Cerita pemuda itu hanyalah satu daripada pelbagai jenis ugutan dan ancaman yang digunakan oleh Umno-BN bagi menakut-nakutkan pengundi agar tidak berhijrah menyokong PH.
Kalau di peringkat atas menteri memberi amaran dan pengancam kakitangan awam agar terus memperhambakan diri kepada Umno-BN atau menderita hukuman dan deraan, di peringkat bawah pun macam itu juga. Malah lebih teruk.
Bapak-bapak kepala Umno-BN yang bermentaliti kelas “kepala bapak kau” (meminjam ungkapan Perdana Menteri, Perdana Menteri, ((Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil)), Mohd Najib Abdul Razak) tidak lagi membezakan di antara kerajaan dan parti.
Dalam kegelabahan mereka kerana bayang-bayang kekalahan semakin terang, mereka menganggap dan melayan kakitangan awam sebagai hamba Umno-BN dan bukan sebagai kakitangan awam yang ada kehormatan.
Di dalam gelap saya juga dihampiri hadirin yang berkata mereka bersimpati dengan Tun Dr Mahathir dan PH walaupun mereka masih bersama Umno dan PAS.
Saya faham sentimen mereka. Saya dilahirkan dalam keluarga Umnu dan menjadi ahli Umno Bahagian Pendang selama lebih 30 tahun hingga tahun 2015 apabila saya menarik diri secara rasmi.
Saya faham sangat pentingnya afiliasi parti, sama ada dengan Umno atau PAS. Menjadi ahli atau penyokong salah sebuah parti itu adalah sebahagian daripada sistem sosial.
Setiap individu, di saat-saat penting kehidupan dan kematiannya, tidak dapat tidak akan dikaitkan dengan afiliasi politiknya. Si anu itu orang Umno, si polan pula orang PAS.
Di kawasan inilah, dalam pilihan raya umum (PRU) 1969, kempen mengkafirkan orang Umno oleh PAS memberi kesan besar Umno apabila wakil rakyat Perikatan masa itu, Dr Mahathir kalah kepada calon PAS, Haji Yusof Rawa.
(Hari ini, anak Almarhum Yusof Rawa, Yang Berhormat ((Datuk) Dr Mujahid Yusof Rawa, adalah di antara musuh politik Dr Mahathir yang telah berubah menjadi rakan seperjuangan demi menyelamatkan Malaysia.)
Tetapi hakikat bahawa pada malam Jumaat lepas banyak orang Umno dan PAS secara diam-diam, sambil bercangkung dalam gelap, mendengar ucapan pemimpin PH adalah satu perubahan luar biasa.
Ertinya mereka tidak lagi taasub kepada sistem masyarakat yang mengikat mereka kepada Umno dan PAS.
Mereka mahu mendengar cerita PH kerana mereka juga terhimpit dan tersepit dengan kesempitan hidup yang disebabkan oleh salah urus ekonomi dan penyelewengan oleh kerajaan kleptokrasi Najib.
Kalau ramai ahli dan penyokong Umno tidak lagi mampu atau mahu mempertahankan kepemimpinan parti dan kerajaan, ahli dan penyokong PAS pula digugat imannya oleh cerita-cerita kehidupan mewah sesetengah ulama mereka setelah dikaitkan dengan sogokan oleh Najib.
Soal keakraban luar biasa di antara Presiden mereka, (Tuan Guru Datuk Seri) Abdul Hadi Awang dengan Presiden Umno  masih menjadi punca kekeliruan bagi ramai ahli dan penyokong PAS kerana di peringkat akar umbi Umno masih berupa musuh ketat mereka.
Walaupun kebencian mereka cuba diarahkan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) namun dalam pemikiran mereka, musuh tradisi mereka adalah Umno.
Di saat-saat bapak-bapak kepala mereka bersekedudukan dengan Umno dan dikaitkan dengan gaya hidup mewah dan hedonistik, ahli dan penyokong biasa PAS bukan sahaja tidak menikmati habuan itu sebaliknya ditekan oleh kesempitan hidup.
Manakala Najib tidak mahu atau tidak mampu menafikan dakwaan yang dia telah memberi rasuah kepada watak-watak tertentu dalam PAS, Abdul Hadi terpaksa bertungkus-lumus cuba membersihkan nama PAS.
Malangnya, Abdul Hadi mungkin sudah termasuk perangkap Najib apabila dia memfailkan saman terhadap pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, di London.
Dalam bahasa mudah, Abdul Hadi telah diperangkap untuk melakukan kerja kotor bagi pihak Najib.
 
Keris panjang: Abdul Hadi terpaksa berlagak bebas dan garang
Sebagai tindak balas kepada reaksi negatif persekongkolan dengan Umno-BN itu, Abdul Hadi beberapa hari kebelakangan ini terpaksa berlagak bebas dan berani dengan mengisytiharkan yang PAS akan bertanding 140 kerusi Parlimen dan memerintah Selangor mengikut syariat Islam.
Kesimpulannya, macam Umno juga, PAS tidak boleh lagi memperkotak-katikkan orang Melayu seperti dulu.
Orang Melayu kampung, peneroka Felda dan penghuni perumahan rakyat tidak boleh lagi dijual murah oleh Umno dan PAS.
Mereka tidak boleh lagi diperbudak-budakkan dan mereka mempunyai lain pilihan – Pakatan Harapan.
– http://kadirjasin.blogspot.ae/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.