`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, February 23, 2018

Jangan bazir undi anda pada PAS, pesan Zaid

Gambar AFP

PETALING JAYA: Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim menasihatkan rakyat tidak membazirkan undi dengan menyokong PAS pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), jika mereka mahu menggulingkan Datuk Seri Najib Razak.
Menerusi catatan blognya hari ini, ahli DAP itu berkata, rakyat Malaysia silap jika memikirkan tindakan mengundi PAS mampu menyingkirkan Najib.
“Saya harap orang-orang ini sedar. Jangan pecahkan undi anda. PAS tidak akan menang, termasuk di Kelantan.
“PAS mengabaikan cara Tok Guru Nik Aziz dan mereka perlu membuat pengorbanan besar untuknya,” tulisnya merujuk bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Beri undi anda kepada Pakatan Harapan dan kita akan pastikan kita dapat menyingkirkan diktator itu,” katanya merujuk kepada Najib.
Sejak 2015, Najib dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang beberapa kali berkongsi pentas sama dalam memperjuangkan isu berkaitan orang Islam.
Pada 17 Disember 2015, Najib dan Hadi memakai baju Melayu berwarna sama ketika menghadiri Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia yang diadakan di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur.
Setahun kemudian, mereka menghadiri Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, pada 4 Disember 2016, bagi membantah penindasan kerajaan Myanmar ke atas etnik minoriti itu.
Pada 4 Mei 2017, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan mengakui kehadirannya pada majlis pelancaran program tukun tiruan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ialah permulaan kepada politik matang antara parti itu dan kerajaan BN.
PAs dilaporkan mengalami perubahan besar, 4 bulan selepas Nik Aziz meninggal dunia pada 12 Februari 2015.
Ia berlaku apabila golongan konservatif yang selama beberapa dekad mencorakkan parti itu kembali berkuasa.
Hampir semua pemimpin yang mahu parti itu mengekalkan hubungan dengan PKR dan DAP, tewas pada pemilihan parti Jun 2015, termasuk Timbalan Presiden ketika itu, Mohamad Sabu atau Mat Sabu.
Kumpulan progresif yang diketuai Mat Sabu kemudiannya menubuhkan Amanah pada 16 September 2015 yang kemudiannya menyertai Pakatan Harapan.
Sementara itu, Zaid turut mengingatkan rakyat tidak mengkritik Najib bagi mengelakkan mereka dipenjarakan kerana perdana menteri mudah tersinggung.
“Kita kini mempunyai undang-undang yang mengatakan jika Najib atau orang-orang yang rapat dengannya merasa dihina atau jika kita menyakiti perasaan mereka, maka kita boleh dikenakan tindakan dan akhirnya dipenjara.”
Selasa lalu, kartunis terkenal, Fahmi Reza dihukum penjara sebulan dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh.
Pereka grafik berusia 40 tahun itu didapati bersalah di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik poster satira menggambarkan Najib bermuka badut.
Di bawah akta itu, Fahmi didapati menyebarkan kandungan dalam talian yang dianggap “lucah, palsu, mengancam atau menyinggung perasaan dengan tujuan untuk menyakitkan hati, menyalahgunakan, mengugut atau mengganggu orang lain”. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.